KINABATANGAN, SABAH – Tangkal kelongsong peluru yang digunakan sebagai ‘alat kebal’ seorang pengedar dadah tidak dapat menyelamatkannya dari ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Tongod, semalam.
Lelaki warganegara Filipina terbabit ditahan bersama 31 paket dadah dalam operasi 3.30 pagi yang dijalankan di sebuah ladang sawit di bawah arahan Pegawai Pemerintah Batalion 15 Pasukan Gerakan Am (PGA) Sandakan, Superintendan Abd Halim Ahmad.
Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, operasi melibatkan pemantauan ke atas sebuah pondok di ladang berkenaan yang dijalankan atas maklumat awam.
“Suspek yang berusia 42 tahun tiba-tiba muncul di kawasan berkenan dan terus ditahan untuk pemeriksaan lanjut…
“Hasil pemeriksaan, suspek didapati memiliki tatu di tangan berbentuk huruf A dan D yang belum diketahui maksud sebenar huruf berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut ke atas sebuah beg kecil yang dipegang mangsa menemui satu paket plastik lutsinar saiz sederhana dan 30 paket plastik lutsinar saiz kecil yang mengandungi ketulan hablur jernih yang disyaki dadah jenis syabu.
“Menurut akuan suspek, tangkal tali pinggang berbuah kelongsong peluru berwarna hitam digunakannya sebagai alat kebal diri,” katanya dalam sebuah kenyataan media.
Tambah beliau, suspek memiliki pasport tamat tempoh sehingga 20 Oktober 2016 yang tidak memiliki cop sah pintu masuk negara Malaysia.