BEAUFORT, SABAH – Ahli Dewan Undangan (ADUN) Lumadan, Hj. Ruslan Muharam terus komited membantu rakyat terkesan dengan pembukaan ‘food bank’ di 14 buah masjid lagi dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan.
Ini menjadikan keseluruhan jumlahnya 24 food bank kini beroperasi dalam DUN tersebut, iaitu menghampiri sasaran sebanyak 32 buah food bank yang ingin dibuka untuk membantu semua golongan yang terkesan.
Menurut Hj. Ruslan, beliau telah membuka 14 food bank di setiap masjid dan penduduk yang kekurangan makanan bolehlah mendapatkan bantuan makanan di sini dengan hanya memaklumkan kepada Jawatan kuasa Masjid.
“Ramai yang terkesan oleh pandemik Covid-19 ini dan golongan yang diberikan keutamaan ialah golongan asnaf seperti ibu tunggal, OKU, mereka yang tersenarai dalam e-Kasih, warga emas, juga anak yatim,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Walau bagaimanapun katanya, food bank ini terbuka kepada semua rakyat di DUN Lumadan tanpa mengira bangsa dan agama serta mereka boleh mendapatkan barangan keperluan makanan andai kata mereka kehabisan bekalan.
“Kita akan terus membuka lagi beberapa food bank dalam masa terdekat ini,” kata Hj. Ruslan yang juga Pengerusi Perkasa Realty Sdn Bhd.
Hj. Ruslan memberitahu semua bekalan makanan di food bank ini adalah dibiayai sepenuhnya oleh pihaknya.
Namun demikian, pihaknya berterima kasih kepada badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan individu yang sudi memberikan sumbangan makanan untuk diletakkan di masjid.
“Saya berharap lebih ramai lagi akan tampil membantu memberikan sumbangan dan ‘Lumadan Sejahtera Prihatin’ slogan kami laungkan akan terus dilaksanakan,” tambahnya.
Katanya, food bank ini juga adalah sebagai satu azam sempena Maal Hijrah yang akan disambut esok, di mana food bank akan diwujudkan di semua masjid.