SAGA X: Olahraga Labuh Tirai Dengan Enam Rekod Baharu

SAGA X: Olahraga Labuh Tirai Dengan Enam Rekod Baharu

0
SHARE
Saga x
Gambar-gambar aksi hari terakhir olahraga ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

TUARAN, SABAH – Kejohanan Olahraga Sukan Sabah (SAGA) Ke-10 melabuhkan tirainya dengan menyaksikan tambahan sebanyak enam rekod baharu berjaya dicipta.

Antaranya melibatkan acara 1,500 meter lelaki yang dimenangi oleh Nikos Tai Ler Onn dengan catatan masa 4.17.12 s memadam rekod lama 4.17.70 s pada 2019 oleh Romieo Gomboh dari Kota Kinabalu.

Bagi acara sama kategori wanita milik atlet Keningau, Hizillawanty Jamain dengan catatan masa 4.59.81 s juga berjaya meleburkan rekod terdahulu atlet Pitas Marlin Hing William pada 2017 dengan catatan masa 5.10.59 s.

Atlet Kuala Penyu Muhammad Khalil Helmi turut cemerlang menggenggam emas acara 400 m lelaki dengan catatan masa 48.70 s dan memadam rekod lama milik atlet Keningau Anchios Aron dengan catatan masa 49.58 s pada 2011.

Manakala, lontaran sejauh 13.55 m atlet Kunak Pang Hong Seng pula memecah rekod lama pada 2010 oleh Mirach Han dari Tawau dengan catatan jarak sejauh 13.35 m.

Turut memecah rekod ialah acara lompat kijang yang dimenangi oleh Abby Allysca Lausin dari Kudat dengan jarak lompatan sejauh 11.72 m mengatasi rekod lama 11.31 m oleh atlet Ranau, Jatifah Gesikin pada 2015.

Acara yang berlangsung di Kompleks Sukan Tuaran itu diakhiri dengan aksi pecah rekod acara 4x400m lelaki oleh Quartert Sandakan iaitu Dexter Palmin, Muhammad Fahami Samsudin, Mukhriz Ameer Izzuddin Abdul Rauf dan Pengiran Aidil Auf Hajam@Pengiran Roslie.

Mereka berjaya menamatkan garisan dengan catatan masa 3:25.92 s mengatasi rekod lama oleh Quartert Keningau pada 2011 dengan catatan masa 3:26.03 s. — JABATAN PENERANGAN SABAH