KOTA KINABALU: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah mengeluarkan notis larangan pemasangan bahan-bahan kempen pilihan raya di beberapa kawasan yang berisiko mengganggu keselamatan pengguna jalan raya sepanjang tempoh Pilihan Raya Umum Sabah Ke-17 (PRU-17).
Dalam satu kenyataan umum, JKR Sabah meminta semua parti politik yang bertanding supaya tidak memasang bendera, sepanduk, poster atau sebarang bahan kempen lain di kawasan berikut termasuk, bulatan; bukaan median jalan; simpang; lintasan pejalan kaki dan; tiang lampu isyarat.
Menurut kenyataan tersebut, pemasangan bahan kempen di lokasi-lokasi berkenaan boleh menghalang pandangan pemandu, mengganggu aliran trafik dan meningkatkan risiko kemalangan.
JKR Sabah turut menegaskan bahawa bahan kempen yang telah dipasang di kawasan larangan berkenaan perlu dialihkan dengan segera bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya tidak terjejas.
Kenyataan itu dikeluarkan oleh Pengarah Kerja Raya Sabah sebagai peringatan rasmi kepada semua pihak bagi memastikan kempen PRU-17 berjalan lancar tanpa menjejaskan keselamatan awam.






