
KOTA KINABALU, SABAH – Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin menyampaikan sumbangan kit ujian kendiri RTK COVID-19 kepada jabatan dan agensi di bawah Kementerian Kerja Raya Sabah (KKRS).
Bung yang juga Menteri Kerja Raya berkata sumbangan tersebut bertujuan untuk memberikan kemudahan kepada kakitangan jabatan terlibat bebas dari COVID-19 sebelum mereka masuk dan memulakan tugas di pejabat.
“Sumbangan ini untuk memberikan kemudahan kepada kakitangan membuat ujian saringan sendiri sekurang-kurangnya seminggu sekali bagi memastikan mereka sihat dan bebas dari jangkitan virus COVID-19 sebelum mereka hadir dan menjalankan tugas di pejabat,” katanya selepas majlis penyampaian sumbangan tersebut di pejabat beliau kelmarin.
Hadir sama, Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Limus Jury, Setiausaha Tetap KKRS Mohd Jasmin Juplin dan ketua ketua jabatan dibawah KKRS.
Bung menambah bahawa ujian kendiri turut memberikan keyakinan untuk melaksanakan tugas disamping dapat meningkatkan kehadiran kakitangan ke pejabat semasa endemik COVID-19 ini.
“Jika sebelum ini kita menetapkan kehadiran 30 peratus hadir ke pejabat berkerja, mungkin selepas melakukan ujian sediri, jumlah kehadiran kaki tangan dapat kita tingkatkan bagi menggalakan produktiviti tugas-tugas seharian di pejabat,” tambah Bung.
Ketika ditanya mengenai kadar pemberian vaksin COVID-19 di negeri ini yang masih rendah berbanding di lain-lain negeri, Bung yang juga seorang Ahli Parlimen yakin menjelang akhir bulan September ini kadar itu akan mencapai lebih dari sasaran 60 peratus.
Bung yakin terhadap kesungguhan kerajaan Pusat khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia yang memberikan tumpuan khusus membantu Sabah untuk menambah kemudahan kesihatan di beberapa buah hospital di negeri ini.
Menteri Kesihatan Khaiiry Jamaluddin semasa sidang media ketika lawatannya ke Sabah pada Rabu mengumumkan penghantaran 2.8 juta dos vaksin pada bulan ini ke Sabah bagi membantu kerajaan negeri meningkatkan kadar vaksinasi harian.

Selain itu Khairy turut memaklumkan penghantaran peralatan perubatan tambahan ke Sabah antaranya adalah 480 unit silinder oksigen, 24 buah kotak alat pernafasan, lima buah kotak ubat-ubatan COVID-19 yang telah pun sampai pada hari ini.
Bung juga turut bersetuju agar keaedah pemberian vaksin secara memperbanyakkan ‘mobile outreach program’ perlu diperbanyakkan di Sabah berdasarkan faktor geografi dimana kebanyakan penduduk khususnya di luar bandar dan pedalaman negeri ini sukar keluar untuk ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) disebabkan faktor perhubungan.