KOTA KINABALU, SABAH – Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) mengecam dan mempersoalkan tindakan kerajaan negeri Sabah yang telah meluluskan biasiswa anak kepada salah seorang ahli parti pembangkang (Warisan) Datuk Azis Jamman.
Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, tindakan itu merupakan satu kesilapan besar yang tidak sepatutnya diulangi oleh kerajaan.
“Sejak pagi tadi tular video oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Haji Noor yang membuat pengesahan bahawa kerajaan negeri Sabah di bawah GRS-PH Puls telah meluluskan biasiswa kepada anak Azis Jamman walaupun pemimpin Warisan itu dilihat berterusan menyerang kerajaan negeri Sabah…
“Hajiji dalam satu kenyataan ketika merasmikan Mesyuarat Tahunan Bahagian 2024 Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Sulaman di Dewan Seri Sulaman, kelmarin berkata Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – Pakatan Harapan (PH) Plus bersikap adil terhadap semua pihak di negeri ini, termasuk pembangkang meskipun tidak sehaluan dalam politik,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Katanya lagi, Hajiji juga turut mengakui bahawa Azis Jaman bersama isteri beliau telah berjumpa dengannya bagi memohon kelulusan biasiswa bagi pihak anaknya yang kemudiannya diluluskan oleh Hajiji
Tambahnya, pendedahan ini sebenarnya amat mengejutkan, malahan majoriti rakyat Sabah turut marah sambil mempertikaikan kenapa Kerajaan Negeri Sabah meluluskan pernohonan biasiswa kepada anak Azis Jamman.
“Secara peribadi saya turut senada dengan rakyat Sabah dan merasakan bahawa tindakan Azis membuat permohonan biasiswa bagi pihak anaknya adalah perbuatan yang salah, ini adalah kerana Azis sebenarnya dilihat berkemampuan membiayai kos pelajaran anaknya…
“Saya turut difahamkan selain itu isteri Azis juga adalah seorang pegawai kerajaan di salah sebuah agensi kerajaan negeri Sabah.
“Sebenarnya lebih ramai lagi anak-anak Sabah di luar sana yang mempunyai keputusan peperiksaan akademik yang cemerlang malahan kedua ibu bapa mereka juga tidak mempunyai pekerjaan dan berada pada tahap miskin yang sepatutnya diberikan peluang untuk mendapatkan biasiswa,” tegasnya.
Zulkarnain turut mempersoalkan apakah merit atau asas sehingga anak biasiswa Azis diluluskan.
“Azis dan isterinya mempunyai kemampuan dari segi kewangan dalam masa yang sama hampir setiap hari menyerang kerajaan negeri Sabah kononnya bertindak tidak adil kepada rakyat Sabah.
“Adakah Azis tidak mempunyai sifat malu hampir setiap hari menyerang Hajiji dalam masa yang sama pergi bertemu Hajiji bagi memohon kelulusan biasiswa bagi pihak anaknya dan kemudiannya diluluskan.
“Ini sebenarnya jelas satu tindakan kurang cerdik dan hippkrit oleh Azis.
“Justeru saya menyeru kepada rakyat Sabah untuk membuka mata seluasnya sambil melihat ciri-ciri pemimpin Warisan yang ada dan sudah sepatutnya Parti Warisan ditolak pada PRN-17 yang akan datang,” tegas beliau.