KOTA KINABALU, SABAH – Tindakan SESB (Sabah Electricity Sdn Bhd) memotong bekalan elektrik bagi pengguna yang sedang membuat persiapan berbuka puasa disifatkan amat melampau dan keterlaluan.
Beberapa individu yang enggan nama mereka disiarkan mengadu tindakan SESB memotong elektrik khususnya pengguna beragama Islam yang tinggal di kawasan jalan Sulaman Kota Kinabalu seolah-olah disengajakan memandangkan kerja-kerja pemotongan dilakukan pada hari Jumaat dan kebetulan mereka pula sedang sibuk membuat persiapan untuk solat Jumaat.
“Kami akur apabila elektrik rumah kami dipotong, namun apa yang mendukacitakan kami, selepas bayaran bil dibuat, pihak SESB masih belum membuat sambungan elektrik sehingga menyebabkan kami berada dalam kegelapan ketika berbuka puasa…
“Ada di antara kami terus bergegas membuat bayaran bil sebelum jam 3.00 petang dan kemudiannya membuat rayuan segera agar elektrik dapat disambung semula bagi memudahkan kami membuat persiapan berbuka puasa, namun tidak diendahkan oleh SESB”.
“Sehingga ke Sabtu pagi ini (09 April), penyambungan elektrik belum juga dibuat dan subuh tadi amat menyukarkan kami bagi membuat persiapan untuk bersahur”.
Menurut mereka lagi, aduan juga telah dipanjangkan kepada Ketua Eksekutif SESB, namun tetap tidak ada sebarang tindakan dilakukan.
“Bukankah SESB ditubuhkan untuk membantu rakyat Sabah?, tindakan SESB ini jelas satu tindakan yang sangat tidak berperikemanusiaan dan melampau”…
“Kami sedang berpuasa dan juga akan bersahur, tidak salah untuk pihak SESB membuat penyambungan semula elektrik pada hari yang sama bil dibayar”.

Kami berharap agar Datuk Seri Hajiji Haji Noor, Ketua Menteri Sabah dan Dato’ Seri Bung Moktar dapat menasihati Pengurusan SESB untuk mengamalkan sikap berperikemanusiaan di dalam mendepani pengguna yang mempunyai tunggakan bil elektrik.
“Di dalam bulan ramadhan ini sepatutnya amaran lisan boleh digunakan dan memberikan tempoh 24 jam bagi pengguna membuat bayaran bil. Pada masa yang sama juga, pengguna elektrik yang telah dipotong bekalan elektrik mereka, SESB perlu menyegerakan kerja penyambungan elektrik selepas bayaran bil dibuat memandangkan umat Islam sedang berpuasa”.

Menurut mereka lagi, rakyat Sabah selama ini boleh bersabar dengan karenah SESB apabila bekalan elektrik di rumah mereka sering terputus akibat kerosakan tertentu.
Oleh itu, SESB juga sepatutnya boleh menggunakan budi bicara mereka terhadap pengguna khususnya bagi pengguna yang beragama Islam yang menunaikan ibadah puasa ketika ini.
Dalam pada itu, menurut dapatan kajian bebas secara rambang, SESB adalah di antara salah satu agensi kerajaan yang menerima markah 0 daripada 5 berhubung tahap perkhidmatan mereka kepada orang awam di Sabah.





