KOTA KINABALU: Wanita di seluruh Sabah, termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman, digalakkan untuk berhubung dengan Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah (KWKKR) bagi mendapatkan sokongan serta bantuan berkaitan pelbagai isu yang dihadapi.
Menterinya, Datuk Julita Majungki berkata, kementerian tersebut sentiasa terbuka kepada wanita yang memerlukan bantuan, panduan atau sokongan dalam menangani cabaran dalam kehidupan mereka.
Menurutnya, Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) di bawah kementerian itu memainkan peranan penting dalam mengendalikan hal ehwal berkaitan wanita serta melaksanakan pelbagai program pemerkasaan wanita di negeri ini.
“Wanita di bandar mahupun di luar bandar seharusnya mempunyai akses yang sama kepada sokongan dan bantuan. Sekiranya terdapat isu atau perkara yang ingin dibangkitkan kepada kerajaan negeri, mereka amat dialu-alukan untuk berhubung dengan kementerian atau jabatan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis jamuan makan malam sempena sambutan Hari Wanita anjuran Bahagian Wanita Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS) di Dewan Hakka, di sini pada Ahad.
Julita berkata, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh JHEWA sejak beberapa tahun lalu, termasuk program pembangunan kepimpinan, keusahawanan serta program kesejahteraan keluarga yang bertujuan memperkukuh peranan wanita dalam masyarakat.
Katanya, jabatan itu turut menyediakan pelbagai bentuk perkhidmatan sokongan, termasuk bantuan guaman secara percuma kepada wanita yang berdepan isu keluarga tetapi tidak mampu mendapatkan khidmat guaman.
Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa kementerian yang diterajuinya bukan hanya tertumpu kepada mana-mana kelompok masyarakat, sebaliknya berkhidmat untuk seluruh rakyat Sabah.
“Kementerian yang saya terajui hari ini sebenarnya telah lama diwujudkan, namun pada penggal ini kerajaan negeri telah membuat keputusan untuk menamakan semula kementerian ini sebagai Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat bagi mencerminkan dengan lebih jelas fokus dan tanggungjawabnya,” katanya.
Tambahnya, KWKKR kini menyelia tiga bidang utama iaitu wanita, kesihatan dan kesejahteraan rakyat yang masing-masing memainkan peranan penting dalam memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.
Beliau turut menegaskan kerajaan akan terus memperkukuh kerjasama dengan pertubuhan masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta sektor swasta bagi memastikan usaha memperkasa wanita di Sabah dapat dilaksanakan secara berterusan.
Turut hadir Presiden FCAS, Tan Sri TC Goh, dan Ketua Bahagian Wanita FCAS, Haw Yong Sai.






