TELUPID: Sebuah blok rumah pekerja di Perumahan Estate Tawai 1 di sini musnah sepenuhnya dalam kebakaran petang semalam.
Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, PPgB Edoen Macheal berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5.12 petang sebelum pasukan bomba digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 100 kilometer dari balai.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi pada jam 6.45 petang, kebakaran didapati melibatkan satu blok rumah pekerja lapan pintu jenis kekal dengan keluasan kira-kira 20×20 kaki persegi bagi setiap unit yang telah terbakar 100 peratus,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, sebelum ketibaan bomba, pekerja estate telah cuba memadam kebakaran menggunakan tujuh tong alat pemadam api seberat 9 kilogram, namun usaha itu tidak berjaya mengawal api.
Katanya, pasukan bomba kemudian menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan serta hose reel, dengan sumber air diperoleh daripada sumber air terbuka berhampiran.
“Operasi pemadaman berjaya dikawal pada jam 7.30 malam sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 8 malam selepas pasukan memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi,” katanya.
Operasi tersebut melibatkan lapan anggota dari BBP Beluran yang diketuai oleh Komander Operasi, PBK I Rahmat Rudat, dengan bantuan sebuah jentera Compact Fire Rescue Tender (CFRT) dan sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Edoen turut memaklumkan kawasan kejadian tidak mempunyai rangkaian telefon serta liputan Government Integrated Radio Network (GIRN), namun operasi berjaya dilaksanakan dengan selamat.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak bomba.






