Berpuluh-puluh Kanak-Kanak Britain Dijangkiti Penyakit Radang Hati Misteri

Berpuluh-puluh Kanak-Kanak Britain Dijangkiti Penyakit Radang Hati Misteri

0
SHARE
Gambar Hiasan...

LONDON – Ibu bapa di Britain digesa supaya sentiasa berwaspada terhadap tanda awal penyakit hepatitis berikutan sejumlah kes misteri yang dikesan dalam kalangan kanak-kanak.

Sehingga kini, pakar-pakar kesihatan masih keliru punca yang menyebabkan berpuluh-puluh kanak-kanak diserang penyakit radang hati…

Sebanyak 60 kes  dilaporkan di England melibatkan kanak-kanak di bawah umur 10 tahun yang masih disiasat.

Penyakit Hepatitis A hingga E dan  lima jenis jangkitan virus biasa yang menyebabkan penyakit itu tidak dikesan dalam mana-mana kes.

Pengarah Jangkitan Klinikal dan Baharu Agensi Keselamatan Kesihatan Britain (UKHSA),Dr Meera Chand berkata, siasatan bagi mengesan punca berpotensi sedang dijalankan termasuk kemungkinan kaitan wabak itu dengan penyakit berjangkit.

Wabak Covid-19 juga sedang dipertimbangkan sebagai salah satu punca.

Namun, tiada bukti menunjukkan vaksin Covid-19 dikaitkan dengan mana-mana kes dan kebanyakan kanak-kanak yang terjejas terlalu muda untuk menerima suntikan vaksin.

“Ibu bapa diingatkan untuk peka dengan simptom jaundis atau demam kuning termasuk perubahan kulit menjadi kekuningan  atau paling mudah dilihat pada bahagian putih mata…

“Segera hubungi doktor atau hospital berdekatan jika mereka mempunyai sebarang kebimbangan,” ujar Chand, lapor akhbar Daily Mail.

UKHSA bagaimanapun enggan memberikan butiran di mana kes tersebut dikesan.

Hepatitis selalunya tidak mempunyai simptom yang ketara tetapi ia boleh termasuk air kencing gelap, najis berwarna kelabu pucat, kulit gatal dan mata serta kulit kekuningan.

Orang yang dijangkiti juga boleh mengalami sakit otot dan sendi, suhu yang tinggi dan keletihan luar biasa sepanjang masa.