KOTA KINABALU, SABAH – Sebanyak 12.1 tan sampah dasar laut berjaya dikutip menerusi program Jetama Underwater Cleanup 2024 yang berlangsung selama empat hari bermula 23 Mac hingga semalam.
Dilaksanakan serentak di tiga lokasi berasingan iaitu Pulau Mabul, Semporna, Pulau Sepanggar, Kota Kinabalu, dan Kampung Serusup, Tuaran, program pembersihan dasar laut berkenaan
melibatkan 60 penyelam, penduduk kampung selain agensi kerajaan serta swasta.
Dianjurkan anak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah Kementerian Kewangan Negeri Sabah selaku pemegang konsesi air untuk Pantai Barat Sabah, Jetama Sdn Bhd (Jetama), objektif utama penganjuran program adalah bertujuan sebagai usaha mencapai sasaran plastik sifar dalam memastikan kelestarian alam sekitar khususnya di dasar laut.
Ketua Pegawai Eksekutif Jetama, Ahmad Naim Uddang berkata pembuangan sampah di laut antara masalah yang masih belum dapat diatasi sepenuhnya ketika ini.
“Malahan 90 peratus sampah yang dibuang dan tenggelam ke dasar laut adalah plastik…
“Oleh itu, jetama mengambil inisiatif seumpama ini agar dapat melestarikan alam sekitar selain mahu memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan menjaga keindahan laut kita.
“Selain itu, komitmen Jetama bukan hanya sekadar usaha pembersihan semata- mata tetapi kita berpendapat keterlibatan syarikat di dalam program sebegini juga berkait rapat dengan inisiatifnya untuk menangani pencemaran plastik dan mempromosikan kelestarian melalui konsep kredit plastik,” katanya menerusi kenyataan media, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Naim pihaknya mensasarkan 10 tan plastik untuk dikumpulkan dari dari laut namun berjaya mengutip 12.1 tan sepanjang program berlangsung dan ia sekaligus menunjukkan jumlah plastik yang terdapat di dasar laut terlalu banyak.
“Jetama akan meneruskan program seumpama ini dengan memastikan sasaran plastik sifar mampu dicapai setiap tahun…