Polis Tahan 4 Individu Dalam ‘Op Mabuk’

Polis Tahan 4 Individu Dalam ‘Op Mabuk’

0
SHARE

PENAMPANG, SABAH – EMPAT (4) individu ditahan atas kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol dalam operasi bersepadu ‘Op Mabuk’ di Jalan Bundusan, sini, semalam.

Operasi dijalankan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.

Ketua Polis Daerah Penampang, DSP Mohd Haris Hj Ibrahim berkata, sebanyak 75 kenderaan telah diperiksa sepanjang operasi yang berakhir jam 1 pagi tadi.

“Empat (4) individu tersebut ditahan di bawah Seksyen 45 A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu atas kesalahan memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol melebihi had yang telah ditetapkan…

“Jika disabit kesalahan, mereka boleh dipenjara selama dua tahun dan denda tidak kurang dari RM10,000 dan tidak melebihi RM30,000,” katanya.

Seorang pengguna jalan raya dikenakan ujian ‘breathalyzer’ oleh seorang pegawai trafik bagi mengukur kadar alkohol dalam sistem badan…

Beliau berkata lagi, pihak polis turut mengeluarkan 24 keping saman di atas pelbagai kesalahan antaranya tiada lesen memandu, mengubahsuai kenderaan dan lesen memandu tamat tempoh.

“Operasi kali ini melibatkan kekuatan seramai dua pegawai kanan polis yang diketuai oleh Pegawai Turus Penguatkuasa JSPT Sabah, ASP Andi Baso Andi Mappangerang dan Ketua BSPT IPD Penampang, Inspektor Jupri Usman dengan dibantu oleh 16 anggota polis…

Saringan kedua bagi pengguna jalan raya yang sama di Ibu Pejabat Polis Daerah Penampang…

“Seramai 80 individu telah diperiksa dan operasi kali ini berjalan dengan lancar tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini,” ulasnya.

Haris berkata operasi ini juga antara lainnya bertujuan untuk memantau keselamatan pengguna jalan raya supaya sentiasa patuh dengan undang-undang lalu lintas yang telah ditetapkan.