2 Anggota TUDM Cedera Selepas Kereta Bertembung Trak Tentera

2 Anggota TUDM Cedera Selepas Kereta Bertembung Trak Tentera

0
SHARE
Sumber Foto; Berita Harian

GERIK – Dua anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) cedera termasuk seorang parah apabila kereta yang mereka naiki terbabas sebelum bertembung sebuah trak tentera di Kilometer 16.8, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, di sini malam semalam.

Memetik kenyataan Berita Harian, kejadian yang berlaku pada jam 7.15 malam itu menyebabkan pemandu kereta jenis Honda, Mohd Norsyakirudin Hashim, parah selepas cedera di kepala dan dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh untuk rawatan.

Rakannya yang duduk bersebelahan, Mohd Azwan Kelana, cedera di kaki dan kini dirawat di Hospital Gerik.

Ketika kejadian kedua-dua mangsa berusia 30-an yang bertugas di Markas Tentera Udara, Kementerian Pertahanan (KEMENTAH) dalam perjalanan dari arah Gerik ke Kelantan.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa, berkata kereta mangsa terbabas ke kanan jalan dan berpusing sebelum merempuh sebuah trak tentera dari arah bertentangan.

Sumber Foto; Berita Harian

“Trak tentera yang dipandu Jalius Malainus bersama 11 penumpang dari Markas Tentera Darat, KEMENTAH dan bergerak secara konvoi, gagal mengelak kenderaan mangsa.

“Akibat kemalangan itu, bahagian hadapan kereta rosak teruk manakala trak terbabit rosak di sebelah kanan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Ismail berkata, kes berlaku ketika hujan dan di kawasan selekoh yang mempunyai garisan berkembar.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.