Banjir: Kota Kinabalu Diisytihar Daerah Bencana, Satu PPS Dibuka di Kg Darau

Banjir: Kota Kinabalu Diisytihar Daerah Bencana, Satu PPS Dibuka di Kg Darau

0
SHARE

KOTA KINABALU: Daerah Kota Kinabalu diisytiharkan sebagai daerah bencana banjir berkuat kuasa jam 9 malam tadi, susulan laporan dan maklumat di lapangan yang diterima daripada agensi-agensi di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD).

Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr. Sabin Samitah, berkata pengisytiharan itu dibuat selepas penilaian menyeluruh terhadap situasi semasa banjir yang melanda beberapa kawasan di daerah berkenaan.

“Berdasarkan laporan serta maklumat yang diterima daripada agensi-agensi terlibat dalam JPBD, adalah diisytiharkan bahawa telah berlaku bencana banjir di Daerah Kota Kinabalu bermula jam 9 malam, 3 Januari 2026,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau yang juga Pengerusi JPBD Kota Kinabalu turut mengumumkan pembukaan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi menempatkan mangsa yang terjejas akibat bencana tersebut.

Menurutnya, PPS telah dibuka di Masjid Al Munir bermula jam 9 malam, 3 Januari 2026, bagi menempatkan penduduk yang terlibat secara sementara.

“Pembukaan PPS ini adalah selaras dengan pandangan dan cadangan Ahli Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah bagi memastikan keselamatan serta kebajikan mangsa banjir terus terpelihara,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa situasi banjir akan terus dipantau dari semasa ke semasa oleh JPBD bersama agensi berkaitan, selain menyeru orang ramai agar sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa demi keselamatan bersama.

Kenyataan itu turut dimaklumkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) untuk tindakan lanjut.