Trump Dakwa AS Lancar Serangan, Tangkap dan Gulingkan Presiden Venezuela

Trump Dakwa AS Lancar Serangan, Tangkap dan Gulingkan Presiden Venezuela

0
SHARE

WASHINGTON, AS: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mendakwa tentera AS telah melancarkan serangan berskala besar ke atas Venezuela dan menggulingkan Presiden Nicolas Maduro, dalam campur tangan paling langsung Washington di Amerika Latin sejak pencerobohan Panama pada 1989.

“Amerika Syarikat telah berjaya melaksanakan serangan berskala besar terhadap Venezuela dan pemimpinnya, Presiden Nicolas Maduro, yang telah ditangkap bersama isterinya dan diterbangkan keluar dari negara itu,” kata Trump dalam hantaran di Truth Social.

Menurut Reuters, letupan dilaporkan menggegarkan Caracas dan beberapa lokasi lain, dengan kerajaan Venezuela mengisytiharkan darurat serta menggerakkan pasukan tentera.

Pergerakan Chavismo berkata orang awam dan anggota keselamatan terbunuh, namun tidak mendedahkan angka.

Kerajaan Maduro menafikan tuduhan Washington bahawa Venezuela ialah “negara dadah” dan menuduh AS cuba merampas rizab minyak negara itu.

Maduro sebelum ini didakwa di mahkamah persekutuan AS pada 2020 atas pertuduhan narco-terorisme, yang sentiasa dinafikannya.

Seorang pegawai AS memberitahu Reuters bahawa Maduro ditangkap oleh pasukan yang termasuk unit elit tentera AS.

Senator Republikan Mike Lee berkata Setiausaha Negara Marco Rubio menjangkakan Maduro akan dibicarakan atas pertuduhan jenayah di Amerika Syarikat.

Naib Presiden Venezuela Delcy Rodriguez berkata beliau tidak mengetahui keberadaan Maduro dan isterinya serta menuntut bukti mereka masih hidup, manakala Menteri Pertahanan Vladimir Padrino mengutuk campur tangan itu dan menyeru rakyat bersatu menentangnya.

Penganalisis berkata tindakan AS ini membangkitkan semula memori pahit campur tangan lampau di rantau itu, walaupun beberapa negara Amerika Latin menentang pemerintahan Maduro dan mendakwa beliau menipu pilihan raya 2024.