Zikir di Tanah Perkuburan Tular, Siasatan JHEAINS Masih Berjalan – Arifin

Zikir di Tanah Perkuburan Tular, Siasatan JHEAINS Masih Berjalan – Arifin

0
SHARE

PUTATAN: Siasatan berhubung kejadian sekumpulan individu berzikir di tanah perkuburan Kampung Lupak Meluas, Batu Sapi yang tular baru-baru ini masih dijalankan, kata Exco Agama Sabah, Datuk Mohd Arifin Arif.

Beliau berkata, pihaknya telah mengarahkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), khususnya Bahagian Penyiasatan, untuk menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian berkenaan.

“Selepas siasatan selesai, perkara ini akan dirujuk kepada Pejabat Mufti Kerajaan Negeri Sabah untuk penelitian lanjut. Jika didapati bercanggah dengan ajaran Islam, ia akan dibawa ke Jawatankuasa Fatwa,” katanya.

Menurutnya, sekiranya amalan tersebut disahkan menyeleweng, tindakan lanjut termasuk pewartaan sebagai ajaran sesat boleh dipertimbangkan.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Haul ke-31 Allahyarham Tun Datuk Seri Panglima Haji Datu Mustapha Datu Harun di sini, pada Jumaat.

Terdahulu, tular video memaparkan lima lelaki berzikir dalam keadaan mencurigakan di sebuah tanah perkuburan di Kampung Lupak, yang dipercayai berlaku pada tengah malam Ahad lalu, dan individu terlibat telah dipanggil bagi membantu siasatan.