TAWAU: Polis menahan seorang lelaki warga asing dan merampas dadah jenis syabu seberat lebih satu kilogram dalam satu operasi khas di hadapan sebuah pusat penyimpanan sejuk beku di Jalan Chong Thien Vun, di sini, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek berusia lingkungan 19 tahun itu ditahan kira-kira jam 10.15 malam selepas dilihat memandu sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam keadaan mencurigakan.
Menurutnya, hasil risikan dan pemantauan kira-kira 15 minit oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Tawau membawa kepada penahanan suspek dan pemeriksaan ke atas kenderaan terbabit.
“Hasil pemeriksaan menemukan satu bungkusan plastik hitam mengandungi satu paket plastik berisi bahan hablur jernih disyaki syabu dengan anggaran berat 1,009.47 gram bernilai kira-kira RM35,000,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek bertindak sebagai penghantar dadah dan mengaku memiliki bahan terlarang berkenaan.
“Siasatan mendapati suspek berperanan sebagai ‘runner’ dan menerima upah puluhan juta rupiah untuk membawa bekalan dadah tersebut ke negara jiran,” katanya.
Dalam operasi sama, polis turut menyita sebuah kenderaan pacuan empat roda, sebuah telefon bimbit, kunci kenderaan serta beberapa barang kemas yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti pengedaran dadah.
Jelasnya, suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala risikan diteruskan bagi mengenal pasti rangkaian pengedaran dadah yang terlibat di daerah ini.
ACP Jasmin turut menasihatkan orang ramai agar menjauhi dadah serta menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesyaki sebarang aktiviti berkaitan pengedaran bahan terlarang demi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.






