NEW DELHI: Enam bayi baru lahir maut terbakar dalam satu kejadian kebakaran di sebuah hospital kanak-kanak di ibu negara India, malam semalam.
Dilaporkan ketika kejadian orang ramai bertungkus lumus berlari dalam api untuk menyelamatkan bayi-bayi di hospital tersebut.
Pegawai kanan polis kawasan tersebut, Surendra Choudhary berkata, kesemua 12 bayi yang baru dilahirkan berjaya diselamatkan dengan bantuan orang ramai.
“Namun, ketika menerima rawatan, enam daripadanya meninggal dunia, manakala satu daripada 12 bayi itu sudah tidak bernyawa sebelum kebakaran bermula,” jelasnya.
Dalam pada itu, laman berita ABC News melaporkan lima bayi selamat dan kini sedang dirawat kerana mengalami sesak nafas akibat terhidu asap kebakaran.
Pihak polis kini masih menyiasat punca kebakaran di Hospital Baby Care New Born yang terletak di daerah Vivek Vihar itu.