SHAH ALAM – Sokongan dan keyakinan orang Melayu di Semenanjung Malaysia merupakan cabaran utama yang sedang dihadapi dan perlu diberi perhatian Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas 100 hari dibentuk.
Memetik sumber Sinar Harian, ia berasarkan hasil kaji selidik sempena 100 hari pentadbiran Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan bermula 6 hingga 16 Februari lalu.
Kaji selidik terbabit melibatkan 35,077 responden di seluruh negara merangkumi semua etnik iaitu Melayu Semenanjung, Cina, Bumiputera Sarawak dan Sabah, India serta lain-lain kaum.
Berdasarkan kaji selidik Tinjauan Rakyat Malaysia yang dijalankan lima media arus perdana iaitu Sinar Harian, Awani, The Star, Sin Chew dan Malaysia Nanban dengan kerjasama firma penyelidikan, O2 Malaysia, responden Melayu memberikan penilaian berbeza berbanding kaum lain.
Persepsi yang rendah daripada kalangan Melayu menjadikan cabaran besar kepada pentadbiran Anwar, sementara kepuasan masyarakat bukan Melayu pula berada pada tahap positif, namun menunjukkan sikap berhati-hati terhadap tindak-tanduk kerajaan.
Menerusi segmen skor pemimpin dan institusi berkaitan tahap kepuasan hati terhadap usaha kerajaan menunaikan manifesto Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), seramai 71 peratus responden Melayu Semenanjung tidak berpuas hati berbanding hanya 15 peratus sebaliknya.
Jumlah tersebut tertinggi berbanding dengan India (48 peratus), Bumiputera Sabah (42 peratus), Cina (38 peratus), diikuti 37 peratus oleh Bumiputera Sarawak yang berpuas hati.
Bagi isu berkaitan tahap keyakinan kemampuan Kerajaan Perpaduan ditunjangi Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan lain-lain akan mampu menunaikan manifesto dalam tempoh lima tahun ini, lebih 71 peratus responden Melayu Semenanjung memaklumkan mereka tidak yakin, berbanding 19 peratus yakin dan 10 peratus lagi tidak pasti.