KOTA KINABALU, SABAH – Menteri Komunikasi Dan Multimedia Malaysia, Tan Sri Annuar Musa berkata program ‘Saya Digital’ membantu usahawan memasarkan barang jualan secara dalam talian.
Katanya, program itu juga bertujuan mengajak usahawan memasarkan produk melalui platform maya.
“Program ini akan menjelajah ke segenap kampung dan negeri bagi memberi pendedahan khususnya kepada usahawan muda untuk mengambil bahagian sepenuhnya dalam konsep ekonomi baharu tersebut.
“Keberkesanan program ini menjadikannya antara pengisian penting dalam Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) kerana membolehkan usahawan mempelajari asas perniagaan seterusnya memberi faedah pulangan keuntungan.
“Di samping itu, bersama-sama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), kita adakan kempen jualan murah @ DE Dagang agar usahawan dapat memasarkan produk melalui platform E-Commerce tempatan yang dijangka memberi manfaat sokongan kewangan bernilai sehingga RM300 juta melalui e-Dagang dan e-Bayar,” kata Annuar semasa program sembang santai di salah sebuah restoran di Putatan pada Sabtu.
Program tersebut turut dihadiri oleh Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir. Shahelmey Yahya, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Ts Mahadhir Aziz dan Pegawai Daerah Putatan, Mokhtar Hussin.