Laporan: Pencalonan MIHA BN Cetus Gelombang Senyap UMNO Kinabatangan

Laporan: Pencalonan MIHA BN Cetus Gelombang Senyap UMNO Kinabatangan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Pencalonan Mohd Ismail Ayob (MIHA) sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Lamag didakwa tidak mendapat sokongan menyeluruh di peringkat akar umbi UMNO Bahagian Kinabatangan, menurut sumber terdekat pimpinan bahagian.

Sumber itu mendakwa keputusan tersebut dibuat di peringkat tertinggi kepimpinan negeri, tanpa perbincangan mendalam dengan struktur UMNO di peringkat bahagian, sekali gus menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pemimpin dan jentera tempatan yang selama ini menjadi tulang belakang parti.

Menurut sumber berkenaan, penerimaan MIHA sebagai calon BN dibuat melalui mekanisme keahlian terus Barisan Nasional, satu langkah yang didakwa diputuskan secara unilateral oleh Pengerusi BN Sabah merangkap Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Jafry Ariffin.

“Keputusan ini datang dari atas. Bahagian hanya dimaklumkan, bukan dirundingkan,” kata seorang sumber kanan UMNO Kinabatangan.

Menurut sumber itu lagi, faktor utama MIHA dipilih ialah prestasinya pada PRN Sabah 2025, apabila beliau bertanding sebagai calon Bebas di DUN Lamag dan meraih tempat kedua, tewas tipis kepada Datuk Seri Bung Moktar Radin dengan majoriti sekitar 153 undi.

Margin kekalahan yang kecil itu, menurut sumber berkenaan, dijadikan hujah bahawa MIHA memiliki sokongan akar umbi yang signifikan dan berpotensi memenangi kerusi tersebut sekiranya bertanding atas tiket BN.

Namun, hujah itu tidak diterima sepenuhnya di peringkat bahagian.

“Hampir menang tidak seharusnya menjadi alasan untuk mengetepikan pemimpin UMNO yang telah lama berkhidmat dan setia di kawasan ini,” katanya.

Portal The Star pada 30 November lalu melaporkan MIHA akan memfailkan petisyen pilihan raya bagi mencabar kemenangan Bung Moktar selepas PRN lalu.

Bagaimanapun, sumber itu berkata tindakan MIHA itu masih meninggalkan kesan dalam kalangan ahli UMNO tempatan.

“Walaupun tiada laporan rasmi mengenai kekecohan besar di pusat pengundian, langkah memfailkan petisyen itu dilihat oleh sebahagian ahli sebagai mencabar keputusan yang ketika itu diterima oleh parti.

“Beliau lawan UMNO sebagai calon Bebas, kemudian failkan petisyen. Kini bertanding atas tiket BN. Ini mencetuskan kekeliruan dan kemarahan senyap di peringkat akar umbi,” katanya lagi.

Isu Senioriti dan Kepercayaan Akar Umbi

Menurut sumber itu lagi, pencalonan MIHA juga dilihat melangkaui senioriti beberapa pemimpin UMNO Kinabatangan yang dianggap lebih berpengalaman, lebih dikenali rakyat dan lebih memahami keperluan setempat.

Bagi mereka, isu ini bukan sekadar soal individu atau sejarah kepimpinan lalu, tetapi berkait rapat dengan masa depan pembangunan DUN Lamag, yang menurut sumber berkenaan masih jauh ketinggalan.

“Ini bukan soal jasa sesiapa. Ini soal hala tuju Lamag. Tapi jika suara orang bawah diketepikan, sukar untuk yakinkan rakyat,” katanya.

Setakat ini, menurut sumber, pendirian rasmi UMNO Bahagian Kinabatangan terhadap PRK Lamag masih belum dimuktamadkan. Namun, tidak dapat diketepikan kemungkinan berlakunya boikot senyap, termasuk jentera yang tidak bergerak sepenuhnya atau pengalihan sokongan sebagai tanda protes.

Situasi itu menjadi lebih kompleks apabila Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memutuskan untuk tidak bertanding, menafikan jangkaan awal bahawa Johainizamshah Johari akan dicalonkan semula.

Menurut sumber, kekosongan tersebut berpotensi mengalihkan undi protes kepada calon Bebas, selari dengan sentimen tempatan yang masih kuat menolak campur tangan parti luar.

Keahlian Terus BN Jadi Persoalan

Dalam konteks ini, mekanisme keahlian terus Barisan Nasional kembali dipersoalkan. Walaupun sah dari segi struktur BN dan membolehkan seseorang bertanding tanpa menyertai UMNO atau parti komponen lain, pendekatan ini, menurut sumber, sering mencetuskan ketegangan di peringkat bahagian, khususnya apabila ia dilihat memintas hierarki dan proses dalaman parti.

Bagi UMNO Kinabatangan, PRK DUN Lamag kini bukan sekadar pertarungan antara calon, tetapi ujian terhadap kepercayaan akar umbi terhadap kepimpinan parti.

“Calon boleh diputuskan di peringkat atasan. Tetapi undi tetap di tangan rakyat.

“Kita tidak mahu ada seorang calon oportunis ‘lompat-lompat parti’, dulu dari UPKO ke Warisan, Gagasan Rakyat, Bebas dan kini BN, semata-mana kepentingan peribadi,” tegas sumber berkenaan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pada 10 Januari, Undi Awal 20 Januari dan Hari Pengundian pada 24 Januari.