FLORIDA – Seorang lelaki yang merupakan penumpang pesawat United Airlines di Fort Lauderdale, Florida Selatan telah dihalau keluar setelah mencabar kepiawaian pelitup muka dengan memakai seluar dalam wanita sebagai pengganti.
Dalam sebuah video yang tular semalam, Adam Jenne, 38, dilihat bertengkar dengan kakitangan syarikat penerbangan terbabit sebelum pesawat yang menuju ke Washington itu dibenarkan berlepas.
Beliau berkeras bahawa seluar dalam wanita ‘thong’ berwarna merah itu mengikuti garis panduan yang ditetapkan Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan (TSA) Amerika Syarikat yang dijadualkan berlangsung sehingga Mei 2022.
VIDEO yang jelas menunjukkan seorang penumpang lelaki memakai pelitup muka (facemask) seluar dalam wanita dan telah diarahkan keluar pesawat…
Penduduk Cape Coral itu berkata peraturan yang memerlukan setiap penumpang untuk memakai pelitup muka itu sebagai “tidak masuk akal”.
Memetik laporan Daily Mail, beliau berkata aksinya adalah bagi menunjukkan “kebodohan” peraturan untuk memakai pelitup muka yang hanya boleh dibuka apabila pesawat-pesawat mencapai ketinggian pelayaran yang mencukupi bagi tujuan makan dan minum.
“Tiada yang lebih tidak masuk akal daripada terpaksa memakai pelitup muka sehinggalah saya dibenarkan memesan makanan daripada syarikat penerbangan ini…
“Jadi saya cuba menggambarkan situasi itu dengan memakai seluar dalam wanita di muka saya dan itu jalan terbaik bagi menyampaikan mesej saya,” katanya.
Tidak lama selepas Adam diusir, beberapa penumpang lain juga turut dilaporkan keluar dalam tanda sokongan.
“Dia dihalau kerana memakai pelitup muka? Lupakan saja (penerbangan ini). Saya pun keluar sekarang,” kedengaran suara seorang lelaki dalam video.
Adam dalam sebuah temu ramah bersama Fox4 menyatakan terima kasih kepada penumpang-penumpang berkenaan kerana “melihat ketidakadilan yang sedang berlaku, sesuatu yang tidak masuk akal, dan berani berdiri kerana benar”.
Sementara itu, United Airlines mempertahankan tindakan mereka dengan mengatakan pelitup muka seluar dalam wanita Adam itu tidak mematuhi kepiawaian.
“Pelanggan terbabit tidak mematuhi garis panduan TSA dan kami memuji tindakan kakitangan yang menguruskan situasi itu di landasan sebelum kapal terbang bergerak bagi mengelak perkara yang tidak diingini semasa di udara,” katanya.
Adam kini diharamkan dari mana-mana penerbangan syarikat tersebut sementara kes itu disiasat Jawatankuasa Semakan Insiden Penumpang.
“Jangan beritahu saya bagaimana ingin mengurus diri. Menurut laman web United Airlines, sesebuah pelitup muka harus menutup hidung dan mulut sepenuhnya tanpa sebarang lubang atau pembukaan padanya…
“Pelitup muka seluar dalam saya mengikuti peraturan itu,” katanya sambil menambah beliau juga pernah dihalau keluar dari pesawat syarikat penerbangan Delta kerana melakukan aksi yang sama.
Dalam pada itu, The Washington Post turut melaporkan bahawa TSA telah menerima 4,000 kes berhubung ketidakpatuhan peraturan pelitup muka dalam tahun ini sahaja di mana 126 daripadanya sedang dalam proses pengeluaran denda.





