Memperkasa Komuniti, Menyantuni Asnaf Menjelang Ramadan

Memperkasa Komuniti, Menyantuni Asnaf Menjelang Ramadan

0
SHARE

PEKAN: Seramai 320 penerima terdiri daripada golongan asnaf dan keluarga B40 menerima sumbangan bakul makanan dalam satu program kebajikan sempena persiapan menyambut Ramadan yang diadakan di Kampong Chenderawasih, Sungai Miang, di sini, pada Sabtu.

Program anjuran Team Amal Kazuko yang dipimpin komandannya, Datin Seri Intan Abdul Hamid, itu dilaksanakan dengan kerjasama rakan penaja, APZG Sdn Bhd dan Mubassyir Travel & Tours Sdn Bhd.

Majlis berkenaan turut diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat, Exco Kerajaan Negeri Pahang yang juga ADUN Peramu Jaya, Datuk Mohamad Nizar Mohd Najib, selain kepimpinan kampung serta penduduk setempat yang memeriahkan program tersebut.

Intan berkata, penganjuran program itu bukan sekadar menghimpunkan masyarakat melalui jamuan makan tengah hari gulai kawah, malah menjadi wadah mengeratkan silaturrahim serta menyemai semangat kebersamaan dalam kalangan komuniti.

“Inisiatif ini bertujuan berkongsi rezeki dengan golongan yang memerlukan, khususnya dalam membuat persiapan menjelang ketibaan Ramadan yang mulia.

“Mudah-mudahan sumbangan bakul makanan yang disampaikan dapat meringankan beban penerima di samping membawa kegembiraan kepada mereka,” katanya.

Tambahnya, segala usaha dan sumbangan yang diberikan diharapkan mendapat keberkatan serta ganjaran berlipat ganda, selain dapat diteruskan lagi pada masa hadapan demi kesejahteraan masyarakat.