
TONGOD, SABAH – Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah diarah menyediakan semula pelan dan spektefakasi bagi kerja pembinaan jambatan baharu yang merintangi Sungai Keramuak dalam daerah Tongod.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah, mahukan jambatan kayu menjadi penghubung penduduk Kampung Kenang-Kenangan ke Keramuak itu perlu segera diganti dengan jambatan konkrit memandangkan keadaanya yang sudah usang.
Katanya, cadangan asal pembinaan jambatan sepanjang 80 meter itu RM8 juta, termasuk pembaikan jalan raya merintangi
Kampung Tenaga Baru, Keramuak Dalam hingga ke Ulu Keramuak dan terus ke Kenang-Kenangan.
” Jumlah peruntukan sedia ada tidak mencukupi bagi menyiapkan kerja keseluruhan termasuk sebuah jambatan konkret dan ia memerlukan dana tambahan yang dianggarkan melebihi RM10 juta.
” Sebaik sahaja pelan dan spektefakasi baharu itu siap, saya akan menemui Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor untuk memohon peruntukan tambahan sebelum dibantangkan di peringkat Kabinet,” katanya ditemui semasa melawat jambatan tersebut, semalam.
Masiung berkata, jambatan usang tersebut perlu segera dibina kerana struktur jambatan kayu sekarang sudah mencacah usia 40 tahun dan kini telahpun mula reput dan berbahaya dilalui terutama kenderaan berat.
Menurut beliau, memandangkan rangkaian jalan raya menghubungi perkampungan terbabit telah dibaikpulih, maka tidak ada sebab kenapa jambatan usang berkenaan tidak diutamakan.
Jelasnya, kontraktor yang membaikpulih laluan jalan raya tersebut enggan meneruskan pembinaan jambatan berkenaan kerana peruntukan untuk mengganti sebuah jambatan konkret yang baharu tidak mencukupi.
Pegawai Daerah Tongod, Nelson Jumal Olok dan Jurutera Daerah JKR Telupid/Tongod, Kenny Paping dan Pegawai Unit Pembangunan Masyarakat Tongod, Tokyo Hashim Omar turut serta dalam lawatan kerja ke kampung tersebut.