BATU PAHAT – Polis sedang memburu pemandu kereta PERODUA Viva yang dipercayai merempuh sepasang suami isteri sehingga maut dalam kemalangan di Kilometer 5 Jalan Bukit Pasir di sini, awal pagi, semalam.
Memetik laporan pada Berita Harian, suspek lelaki berkenaan, Muhammad Daniel Silverajah Abdullah, 29, dari Taman Wiramas, Tongkang Pechah, melarikan diri sebaik saja tiba di Hospital Sultanah Nora Ismail pagi semalam, selepas terbabit dalam nahas itu.


Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa, berkata suspek yang dipercayai masih berada di daerah ini diminta menyerah diri ke balai polis berdekatan.
“Polis sedang mengesan suspek berkenaan. Orang ramai yang mengetahui lokasi suspek juga diminta tampil memaklumkan polis di balai berhampiran,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.15 pagi semalam itu, mangsa Wahadi Jamos, 62, dan isterinya, Rokiah Jangi, 65, maut di lokasi kejadian selepas motosikal Honda Class 1 ditunggangi mereka dirempuh PERODUA Viva dipandu suspek.
Saksi di tempat kejadian yang melihat kejadian itu berkata pemandu kereta berkenaan memandu dalam keadaan laju dan tidak menentu ke kiri dan ke kanan, dipercayai dipengaruhi dadah.