Isu Pengiktirafan Baitulmaqdis Ibu Negara Israel, Jordan Beri Amaran Kepada Presiden AS

Isu Pengiktirafan Baitulmaqdis Ibu Negara Israel, Jordan Beri Amaran Kepada Presiden AS

0
SHARE

AMMAN – Jordan memberi amaran ‘akibat buruk’ jika Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump membuat keputusan mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

AFP melaporkan bahawa Menteri Luarnya, Ayman Safadi memberitahu rakan sejawatannya dari AS, Rex Tillerson menerusi telefon semalam, adalah ‘perlu untuk memulihara sejarah dan status perundangan Baitulmaqdis serta menghalang sebarang keputusan yang mahu mengubah status berkenaan,’ kata agensi berita rasmi Petra.

Menantu Trump dan wakil damai Asia Barat, Jared Kushner berkata semalam, presiden itu hampir membuat keputusan mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Pemimpin Palestin terdesak melobi menentang tindakan itu, yang dikatakan ketua Liga Arab, Ahmed Abul Gheit akan menjurus aktiviti fanatik dan keganasan sambil melupakan harapan untuk perdamaian.

Safadi memberi amaran ‘akibat buruk terhadap sebarang keputusan mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel oleh kerana status istimewa bandar itu dari sudut keagamaan, sejarah dan nasional, bukan hanya kepada Jordan dan Palestin, namun seluruh dunia Arab dan Muslim.’

Diplomat atasan Jordan itu berkata, tindakan seperti itu akan merosakkan usaha AS untuk menghidupkan rundingan damai antara Israel dan Palestin, memberi amaran ia mungkin ‘menjurus rantau itu ke arah lebih banyak ketegangan.’

Safadi pada masa sama menggesa mesyuarat tergempar Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Negara Islam (OIC) bagi ‘membincangkan bagaimana menangani sebarang tindakan AS yang mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.’