KANADA – Seorang wanita Kanada kini berkemungkinan kehilangan sebelah matanya selepas membuat ‘tatoo’ atau cacah pada biji mata putihnya September lalu, yang kemudian bermasalah.
Caitlin Gallinger, 24, seorang model, membuat cacah berkenaan oleh teman lelakinya di Ottawa, kini menimbang untuk membuang biji mata kanannya itu.
Menurut Daily Mail, dia mendakwa teman lelakinya yang juga artis cacah, tidak mencairkan dakwat secukupnya serta menggunkan dakwa terlalu banyak ketika membuat cacah itu.
Melalui status di Facebook, Caitlin berkata, selain sakit, biji matanya mengeluarkan dakwat ungu tdak lama selepas cacah berkenaan dibuat.
Menurutnya, selepas beberapa minggu, matanya masih bengkak dan selepas tiga kali rawatan di hospital, dia kini berkemungkinan hilang penglihatan mata berkenaan.
“Saya selalu jujur dan akan terus jujur. Tiada lagi harapan. Saya sudah hampir memutuskan untuk membuang biji mata ini, saya sudah tidak tahan,” katanya.
Gallinger sudah membuat puluhan cacah pada tubuhnya, termasuk menjalani pembedahan bagi membelah lidahnya agar kelihatan seperti garpu.
Dia memberitahu Time: “Ramai kawan saya membuat cacah pada biji mata tanpa masalah. Ia amat menarik minat saya.”
Dia bersetuju membuat cacah pada biji mata itu selepas berulang kali didesak bekas teman lelakinya itu.
Kini, selepas tiga bulan, dia hampir tidak boleh membuka mata itu kecuali dengan paksaan.