Perikatan Nasional Sedia Hadapi PRN Sabah — Ronald Kiandee

Perikatan Nasional Sedia Hadapi PRN Sabah — Ronald Kiandee

0
SHARE

KOTA KINABALU: Perikatan Nasional (PN) mengumumkan kesediaan penuh untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) Sabah susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berkuat kuasa sejak Isnin.

Pengerusi PN Sabah, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dalam kenyataan di laman Facebook rasminya berkata, pembubaran DUN telah lama dinantikan oleh rakyat Sabah kerana ia membuka ruang kepada rakyat untuk menentukan semula hala tuju baharu negeri ini melalui proses demokrasi.

Beliau menegaskan bahawa PN percaya rakyat Sabah kini sudah cukup matang dan bersedia melakukan perubahan demi masa depan yang lebih baik.

Menurutnya, pilihan raya kali ini akan menjadi peluang penting untuk rakyat memilih sebuah kerajaan negeri baharu yang mampu membawa kestabilan, kecekapan dan maruah kepada Sabah.

“Inilah masanya untuk rakyat Sabah bangkit bersama Perikatan Nasional demi membina sebuah negeri yang stabil, cekap lagi bermaruah,” katanya.

Pembubaran DUN Sabah diumumkan semalam oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, bagi memberi laluan kepada PRN Sabah ke-17.

Tarikh rasmi penamaan calon dan pengundian dijangka akan diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam masa terdekat.

PRN kali ini bakal menyaksikan pertandingan sengit antara gabungan utama termasuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) serta parti-parti tempatan lain dalam menentukan kepimpinan negeri bagi penggal baharu.