KOTA KINABALU: Kepimpinan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) akan mengadakan mesyuarat pada Rabu ini bagi memuktamadkan status lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu yang mengumumkan pendirian untuk kekal bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan menyatakan sokongan penuh terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Presiden STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada Selasa berkata, parti tidak akan menghalang mana-mana ADUN yang memilih untuk keluar daripada pendirian parti, sebaliknya menyerahkan kepada rakyat untuk menilai dan menentukan kedudukan mereka.
Beliau menjelaskan mesyuarat pimpinan STAR itu akan turut membincangkan langkah susulan termasuk menamakan pengganti bagi kelima-lima ADUN berkenaan.
Jeffrey menegaskan bahawa STAR akan menampilkan “pejuang muda dan setia” untuk mengisi kekosongan tersebut sebagai sebahagian daripada strategi parti menghadapi Pilihan Raya Negeri akan datang.
Sebelum itu, lima ADUN STAR termasuk Datuk Ellron Angin (Sook), Datuk Robert Tawik @ Nordin (Bingkor), Datuk Abidin Madingkir (Paginatan), Datuk Annuar Ayub (Liawan) dan Datuk Flovia Ng (Tulid) dalam satu kenyataan bersama mengumumkan pendirian untuk kekal dalam GRS.
Mereka menyatakan bahawa kestabilan politik dan kesinambungan pembangunan negeri menjadi keutamaan ketika ini di bawah kerajaan pimpinan GRS.
“Kami berpegang kepada mandat serta kepercayaan yang diberikan rakyat dan percaya sebarang keputusan mengenai hala tuju parti perlu dibincangkan secara teliti demi kepentingan rakyat dan negeri,” kata mereka dalam kenyataan tersebut.
Lima ADUN berkenaan turut menegaskan komitmen untuk mempertahankan kerusi masing-masing atas lambang GRS sebagai tanda kesetiaan kepada mandat rakyat serta bagi memastikan kestabilan politik Sabah terpelihara.
Jeffrey dalam pada itu mengesahkan bahawa STAR akan terus memperjuangkan suara rakyat dan tidak bergantung kepada pakatan politik semata-mata.
Beliau turut menegaskan parti akan bertanding di 33 kerusi pada Pilihan Raya Negeri yang akan datang, sejajar dengan hala tuju baharu STAR selepas keluar daripada gabungan GRS.






