KOTA KINABALU: Ahli Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengalu-alukan penyertaan Datuk Amir Kahar melalui STAR Sabah, namun menegaskan bahawa GRS bukan platform untuk pemimpin bermusim yang hanya muncul menjelang pilihan raya.
Pemuda GRS, Asmey Ruddy yang juga Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah Bahagian Pitas berkata, GRS memerlukan pemimpin yang ikhlas berjuang, bukan sekadar mencari tiket pilihan raya atau mengungkit cerita lama tanpa membawa penyelesaian.
“GRS dibina di atas kerja keras dan keputusan berani yang telah mengubah landskap Sabah. Kami mahu pejuang yang sanggup memikul tanggungjawab, bukan sekadar menumpang nama gabungan untuk kepentingan peribadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan, sepanjang empat tahun pentadbiran GRS, pelbagai pencapaian telah direkodkan, antaranya menarik pelaburan baharu bernilai berbilion ringgit yang mewujudkan 32,996 peluang pekerjaan, membangunkan SMJ Energy kepada aset RM5 bilion sekali gus menjadikan Sabah pemain utama industri minyak dan gas, serta meningkatkan Geran Khas MA63 daripada RM26 juta kepada RM600 juta.
Selain itu, GRS memulakan 19 pakej baharu Pan Borneo Fasa 1B, membina 7,482 unit Rumah Mesra SMJ untuk membantu keluarga memerlukan, serta memberi bantuan tunai bulanan kepada 10,000 penerima miskin tegar.
“Semua ahli, sama ada lama atau baharu, perlu bersama mengangkat pencapaian ini dan bergerak ke hadapan. Sabah sedang bangkit, dan kita tidak akan membiarkan ia diganggu oleh mereka yang hanya muncul di saat akhir,” tegasnya.
Menurut Asmey, GRS bukan “tempat singgah” bagi mana-mana tokoh politik, sebaliknya medan perjuangan untuk mereka yang benar-benar komited terhadap pembangunan Sabah.






