KOTA KINABALU, SABAH – Upacara pengebumian ibu mertua dikenal pasti sebagai punca penularan jangkitan ‘Kluster Alab Senagang’ di Tenom semalam.
Kes indeks merupakan seorang wanita tempatan, 37, yang tinggal di kawasan tersebut.
Jurucakap Perkembangan Harian COVID-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, wanita terbabit disahkan positif di Hospital Tenom pada Khamis lalu.
Beliau telah dimasukkan ke pusat kuarantin pada hari yang sama.
“Berdasarkan siasatan awal, pada Ahad lalu, ibu mertua kes yang meninggal dunia disebabkan COVID-19, telah dibawa balik ke Kampung Senagang sehari selepas itu…
“Seramai 20 ahli keluarga dilaporkan berkumpul semasa jenazah dibawa pulang ke rumah,” katanya.

Menurut beliau, daripada 88 saringan individu, 50 kes didapati positif termasuk empat (4) kes baharu semalam.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan sebanyak enam (6) kes kematian berhubung COVID-19 dilaporkan semalam.
“Dua (2) kes berlaku di Tawau dan Keningau manakala Ranau dan Sandakan masing-masing mencatatkan satu (1) kes kematian,” katanya lagi.

Masidi berkata sebanyak 13 individu dikenakan kompaun melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) COVID-19 di seluruh Sabah.
“Dua (2) orang gagal memakai pelitup muka, satu (1) orang gagal mendaftar masuk premis dan 10 orang lagi didapaiti mengadakan aktiviti pusat hiburan yang masih dilarang,” jelasnya.





