KOTA KINABALU: Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) bakal dinaik taraf bagi meningkatkan kapasiti penumpang daripada 9 juta kepada 12 juta setahun menjelang 2028, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Beliau berkata projek peluasan itu merangkumi pembesaran terminal, apron dan kemudahan udara bagi menampung pertumbuhan trafik penumpang serta kargo di Sabah.
“KKIA kini melayani lebih 25,000 penumpang setiap hari dengan 15 destinasi antarabangsa.
“Dengan peluasan ini, ia akan terus menjadi pemangkin utama kepada pembangunan ekonomi Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian melalui hantaran Facebook selepas mendengar taklimat daripada Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) sempena lawatan kerjanya ke sini baru-baru ini.
Menurut Loke, potensi Sabah bukan hanya dalam sektor pelancongan, tetapi juga untuk menjadi salah satu hab kargo udara utama di rantau ini, membuka peluang baharu dalam perdagangan dan logistik.
Beliau menegaskan, Kementerian Pengangkutan akan terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri Sabah, MAHB, syarikat penerbangan dan pihak berkepentingan lain bagi memastikan KKIA benar-benar menjadi pintu gerbang global Malaysia serta pemacu pertumbuhan ekonomi negeri.






