SLS, Aktivis Sokong AKPS Ditangguh Demi Pelihara Autonomi Sabah

SLS, Aktivis Sokong AKPS Ditangguh Demi Pelihara Autonomi Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Sabah Law Society (SLS) dan aktivis tempatan menyokong keputusan Kerajaan Negeri Sabah menangguhkan pelaksanaan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di negeri ini bagi memastikan autonomi imigresen Sabah terus terpelihara.

Presiden SLS, Datuk Mohamed Nazim Maduarin berkata, langkah itu mencerminkan keutamaan kerajaan negeri terhadap kepastian perlembagaan berbanding pelaksanaan pentadbiran yang tergesa-gesa.

Menurutnya, semakan terhadap Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 (Akta 860) mendapati wujud beberapa isu perundangan, termasuk percanggahan dengan Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) yang merupakan undang-undang khas bagi Sabah.

“Sebarang usaha pemusatan kawalan sempadan perlu diselaraskan sepenuhnya dengan perlindungan perlembagaan Sabah di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.

SLS turut menekankan keperluan kuasa arahan yang jelas dan langsung kepada kerajaan negeri dalam pelaksanaan penguatkuasaan imigresen bagi mengelakkan kekeliruan bidang kuasa.

Sementara itu, aktivis masyarakat Mohd. Zaki Harry Susanto menyifatkan penangguhan tersebut sebagai langkah tepat bagi mengelakkan hak autonomi imigresen Sabah terjejas.

“Autonomi imigresen Sabah adalah jaminan perlembagaan dan asas penting pembentukan Malaysia. Ia tidak boleh dikompromi,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan AKPS tanpa penelitian menyeluruh boleh menyebabkan pertindihan kuasa, kekeliruan tugas serta risiko pengurangan kuasa kerajaan negeri.

Menurutnya, penangguhan itu bukan penolakan terhadap usaha memperkukuh kawalan sempadan, sebaliknya memberi ruang kepada rundingan dan penambahbaikan dasar.

Kedua-dua pihak menegaskan bahawa sebarang model pengurusan sempadan pada masa depan mesti menghormati sepenuhnya hak autonomi Sabah selaras dengan MA63.