KOTA KINABALU: Ketua Cabang PKR Kota Kinabalu, Grace Lee Li Mei, menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tular yang kononnya cabang itu akan dibubarkan untuk menyertai Parti Warisan di kerusi Api-Api.
Mesej yang tersebar petang Rabu itu mendakwa Grace bersama kepimpinan cabang serta penyokong penyandang Api-Api, Datuk Seri Christina Liew Chin Jin, akan meninggalkan parti pada satu mesyuarat jam 9 malam.
Lebih mengelirukan, mesej sama turut menuduh Bilik Gerakan Utama PKR Kota Kinabalu yang dirasmikan oleh Nurul Izzah Anwar pada 24 Ogos lalu telah ditutup.
“Tidak benar sama sekali. Premis itu hanya akan dikosongkan pada 15 November kerana bangunan tersebut telah dijual oleh pemiliknya. Kami akan berpindah ke pejabat baharu, bukannya keluar parti,” tegas Grace.
Beliau menjelaskan calon PKR yang akan bertanding di kawasan itu akan membuka bilik gerakan bersama pasukannya sendiri bagi mengelak kekeliruan.
“Banyak khabar angin tidak berasas disebarkan. Saya tidak pernah pun berjumpa dengan Loi Kok Liang (calon Warisan di Api-Api), hanya kenal melalui media sosial,” katanya.
Grace menegaskan keputusan calon yang dibuat oleh Presiden PKR perlu dihormati dan menasihatkan supaya semua pihak berhenti menyebarkan fitnah murahan yang hanya mencetus kekeliruan menjelang pilihan raya.
“Saya sudah 15 tahun dalam PKR Sabah. Mereka yang menyebar cerita karut ini akan kami laporkan kepada Setiausaha Parti dan pimpinan negeri untuk tindakan lanjut,” katanya sambil menyifatkan mesej itu sebagai percubaan terdesak untuk menggugat keyakinan penyokong PKR.






