Joachim Ajak Warga Ranau Beri Sokongan Penuh Kepada Calon GRS-BN

Joachim Ajak Warga Ranau Beri Sokongan Penuh Kepada Calon GRS-BN

0
SHARE

 

RANAU, SABAH – Parti Bersatu Sabah (PBS) Ranau menyokong penuh calon parti Gabungan Rakyat Sabah- Barisan Nasinal (GRS-BN) pada Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) yang akan berlangsung pada 19 November ini.

Timbalan Presiden yang juga Ketua Bahagian PBS Kundasang, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam menyatakan ketetapan bahawa ketiga-tiga Bahagian PBS Ranau akan sama-sama menyokong dan berkempen bagi memastikan kemenangan kerusi Parlimen Ranau di tangan calon GRS.

Beliau menyeru semua Ketua-ketua Bahagian PBS serta ahli untuk menyokong dan mengundi calon no. 2, Datuk Jonathan Yasin.

Beliau juga menyeru semua penyokong agar bersatu hati dan satu suara terus menjadikan GRS-BN sebuah kerajaan yang kuat…

“Kalau kita bersatu dan satu suara kita akan menjadi lebih kuat dan dapat menuntut lagi hak-hak rakyat Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di peringkat Persekutuan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Amanat Calon dan Pemimpin GRS Parlimen P.179 Ranau.

“Justeru, kita harus memastikan keamanan dan kestabilan negeri kita agar lebih ramai lagi pelabur dalam dan luar negeri akan memilih Sabah sebagai destinasi pelaburan mereka,” ujarnya.

Katanya, kerajaan GRS-BN dalam tempoh dua tahun ini telah membawa masuk pelabur asing dengan pelaburan mencecah RM6 bilion.

Majlis Amanat berkenaan diadakan di Pentas Budaya Ranau. Turut hadir, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap ADUN Karanaan Datuk Seri Masidi Manjun yang juga Pengerusi GRS-BN Ranau; Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri merangkap ADUN Paginatan, Datuk Abidin Madingkir; ADUN Dilantik merangkap Ketua Wanita GRS Ranau, Datuk Amisah Yassin; Ketua Bahagian SAPP Ranau, Japiril Suhaimin; Ketua PBS Karanaan, Datuk Bernard Dalinting, Ketua PBS Paginatan, Arthur Sen; Timbalan Ketua Umno Bahagian Ranau, Asmin Nasir dan lain-lain.

Pada PRU kali ini Jonathan Yasin yang mewakili GRS akan berhadapan dengan Markos Situn mewakili Parti Warisan Sabah (WARISAN), Taufik Hj Dahlan (Pakatan Harapan), Datuk Dr. Ewon Ebin (Parti Bersatu Rakyat Sabah-PBRS) dan Azizul Julirin (Pejuang).