PRU15: RUSUHAN DI TENOM, PETER ANTHONY MINTA PENYOKONG TIDAK PATAH SEMANGAT

PRU15: RUSUHAN DI TENOM, PETER ANTHONY MINTA PENYOKONG TIDAK PATAH SEMANGAT

0
SHARE

TENOM, SABAH – Presiden Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Peter Anthony menyeru kepada semua penyokong agar bertenang dan tidak patah semangat meskipun beliau tidak dibenarkan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Berdasarkan satu rakaman video yang tular, beliau berkata pada asalnya proses penamaan calon berjalan dengan lancar sekitar jam sembilan hingga 10 pagi tadi.

“Daripada pukul sembilan, pukul 10 tiada masalah dan sudah cabut undi. Sudah maklumkan tiada masalah dan kita (cabut undi) dapat nombor satu…

“Bila kita dapat nombor satu, mahu keluar sudah, ada arahan daripada KL yang saya tidak boleh bertanding jadi apa pun cabarannya, jangan patah semangat,” katanya.

Pagi tadi, satu rusuhan berlaku di pekarangan pusat penamaan calon Dewan DSP Antanom, di sini berikutan borang pencalonan Peter sebagai calon kerusi Parlimen Tenom telah ditolak.

Perkara terbabit menyebabkan sekumpulan penyokong Peter bertindak merusuh dan akibatnya pihak polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata bagi menghentikan kejadian itu.

Rakaman video insiden terbabit telah menjadi tular di laman media sosial.

Dalam perkembangan lain, memetik sumber BERNAMA, dilaporkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani sedang menunggu laporan penuh daripada Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkenaan insiden tersebut.

Satu sidang media dijangka akan diadakan oleh Idris berhubung kejadian itu pada jam lima petang ini di Tenom.