Taliban Larang Pelajar Perempuan Teruskan Pengajian Di Universiti

Taliban Larang Pelajar Perempuan Teruskan Pengajian Di Universiti

0
SHARE
Larangan universiti adalah satu daripada beberapa sekatan dikenakan ke atas wanita sejak Taliban kembali berkuasa pada Ogos 2021 dan ia mencetuskan kemarahan global, termasuk di seluruh dunia Islam....(Sumber Foto: AFP)

KABUL, AFGHANISTAN – Taliban melarang pelajar perempuan daripada meneruskan pendidikan universiti, berkuat kuasa serta-merta pada Selasa.

Berdasarkan surat dikongsikan oleh jurucakap Kementerian Pengajian Tinggi, Ziaullah Hashmi, universiti swasta dan awam perlu melaksanakan larangan itu secepat mungkin serta memaklumkan kepada kementerian sebaik larangan itu dilaksanakan.

Hashmi menghantar Tweet surat itu dan mengesahkan kandungannya dalam mesej kepada AP tanpa memberikan butiran lanjut.

Larangan universiti itu dibuat beberapa minggu selepas gadis Afghanistan mengambil peperiksaan tamat pengajian tinggi mereka, walaupun mereka sebelum ini diharamkan dari bilik darjah sejak Taliban mengambil alih negara tahun lalu.

Meskipun sebelum ini berjanji untuk lebih sederhana dengan menghormati hak wanita dan minoriti, Taliban bagaimanapun terus melaksanakan tafsiran tegar ajaran Islam mengikut undang-undang Syariah.

Mereka turut mengharamkan kanak-kanak perempuan dari sekolah rendah dan sekolah menengah, menyekat wanita daripada kebanyakan pekerjaan serta mengarahkan mereka memakai pakaian yang menutup dari kepala hingga ke kaki di khalayak ramai.

Pelajar wanita dalam sekolah di Kabul…(Sumber Foto: AFP)

Wanita juga dilarang mengunjungi taman permainan dan gimnasium.

Taliban digulingkan pada 2001 oleh pakatan yang diketuai Amerika Syarikat (AS) kerana melindungi pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden, dan kembali berkuasa selepas AS berundur dari negara yang huru-hara itu tahun lalu.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, mengecam keputusan itu dan menyifatkannya sebagai satu lagi ‘janji palsu’ Taliban dan ia satu ‘langkah yang ‘sangat membimbangkan’.

“Sukar untuk membayangkan bagaimana sesebuah negara boleh membangun, boleh menangani semua cabaran yang dihadapinya, tanpa penyertaan aktif wanita dan pendidikan,” kata Guterres.

– AP