
KUDAT, SABAH – Sejumlah 44 tong dram berisi minyak petrol serta tiga buah bot pam telah dirampas oleh pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat di perairan Tanjung Pegasan, Pitas, pada Sabtu.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, bertindak berdasarkan maklumat perisikan yang diterima, bot ronda Zon Maritim Kudat yang ketika itu sedang menjalankan rondaan OP Pluto Timur segera diatur gerak ke lokasi yang telah diarahkan kira-kira pada jam 5.30 pagi.
“Setibanya di lokasi terbabit, anggota Maritim Malaysia mendapati terdapat tiga buah bot terapung tanpa pengendali dipercayai telah melarikan diri setelah menghidu kehadiran penguat kuasa Maritim Malaysia.
“Kedua-dua bot berkenaan seterusnya dirapati untuk pemeriksaan dan didapati bot pertama membawa muatan sejumlah 12 tong dram berisi minyak petrol dan sejumlah 24 tong lagi ditemui di bot kedua.
“Manakala pemeriksaan keatas bot ketiga turut membawa kepada penemuan lapan tong dram juga berisi minyak petrol,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Maurice berkata, ketiga-tiga bot berkenaan disyaki cuba melakukan aktiviti penyeludupan minyak petrol dari perairan Pitas ke Pulau Mangsi, Filipina.
“Bot serta barang rampasan seterusnya dibawa ke jeti Marina, Kudat dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan selanjutnya.
“Keseluruhan nilai rampasan termasuk bot dianggarkan bernilai hampir RM70,000,” tambahnya.
Kes disiasat dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) 2022.





