KOTA KINABALU: Salah seorang pemimpin parti STAR, Datuk Kalakau Untol menyokong penuh janji Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk menghapuskan hutang pendidikan rakyat Sabah di bawah PTPTN dan Yayasan Sabah.
Beliau menyifatkan cadangan itu wajar disokong kerana ramai graduan di Sabah terkesan dengan kadar pengangguran tinggi (7.7 peratus pada akhir 2024), gaji rendah dan tekanan kos sara hidup.
“Anak muda patut fokus bina kehidupan, bukan dibebani hutang. Ini bukan soal politik, tapi soal bantu rakyat,” katanya.
Kalakau menyeru semua parti mengetepikan perbezaan politik demi mencari penyelesaian jangka panjang terhadap isu hutang pendidikan dan pengangguran belia.
Beliau menegaskan penghapusan hutang bukan tindakan populis, sebaliknya pelaburan masa depan untuk memastikan golongan muda Sabah tidak terus tercicir.






