Cubaan Seludup Keluar Barang Kawalan Bernilai RM68 Ribu Digagalkan

Cubaan Seludup Keluar Barang Kawalan Bernilai RM68 Ribu Digagalkan

0
SHARE

KUDAT, SABAH – Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat berjaya menahan sebuah bot yang disyaki cuba menyeludup keluar barang kawalan ke negara jiran, Jumaat lepas.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, hasil maklumat risikan, pada lebih kurang jam 11 pagi bot peronda Maritim Malaysia telah menahan sebuah bot.

“Namun pengendali bot bertindak agresif dengan memecut bot melarikan diri dan tidak memberikan kerjasama.

“Bot terbabit telah meloloskan diri ke kawasan cetek dan menuju ke arah hutan bakau…

“Lebih kurang jam 1.10 petang, bot peronda yang ditugaskan berjaya menjumpai sebuah bot pam tanpa nombor pendaftaran ditinggalkan di celah-celah hutan bakau di posisi lebih kurang 0.2 batu nautika timur Tanjung Pegasan, Pitas,” katanya.

Hasil pemeriksaan mendapati, bot terbabit membawa beberapa jenis barangan yang dikategorikan sebagai barang kawalan dan disyaki cuba diseludup keluar ke negara jiran.

“20 tong minyak diesel dengan anggaran 4000 liter, 60 paket tepung dan 85 kg minyak masak ditemui disembunyikan di dalam bot…

“Bot bersama kesemua barang rampasan dibawa ke Jeti Maritim Kudat dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Kudat untuk siasatan lanjut,” tambahnya.

Maurice berkata nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM 68 ribu.

Kes disiasat dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961 atas kesalahan cubaan menyeludup minyak diesel, minyak masak dan tepung.