16 Peserta Bertanding Rebut Gelaran Ratu Serimpak 2024

16 Peserta Bertanding Rebut Gelaran Ratu Serimpak 2024

0
SHARE
Sarimpak
Peserta Ratu Serimpak ketika sesi taklimat ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

TUARAN, SABAH – Seramai 16 peserta bakal bertanding merebut gelaran Ratu Serimpak 2024 sempena Festival Kebudayaan Rumpun Bajausama Sabah 2024, Rabu ini.

Pengerusi Pertandingan Ratu Serimpak 2024, Muhd Arziz Afizy Rumsani berkata, para peserta kini berkampung di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajausama Sabah selama lima hari sejak Sabtu.

“Sepanjang tempoh berkenaan, peserta akan dinilai dari pelbagai aspek antaranya disiplin serta keterampilan peserta.

“Peserta juga akan dinilai menerusi beberapa acara lapangan antaranya Ngukur Soka (memarut kelapa) yang merupakan acara baharu, Nepo Parai (menumbuk padi), Ngelapat (melipat daun) serta Ngelabu Penjaram (memasak kuih penjaram).

“Selain mempamerkan kecantikan busana tradisi Bajausama, peserta juga akan diuji dengan pengetahuan serta kepetahan bertutur dalam bahasa suku kaum Bajau,” katanya ketika ditemui media selepas sesi Bengkel Ratu Serimpak di sini, pagi Ahad.

Arziz menambah, buat julung kalinya pada tahun ini, pemenang pertandingan Ratu Serimpak akan menerima tajaan pengajian daripada Kolej Universiti Yayasan Sabah (UCSF).

Beliau berharap pertandingan berkenaan dapat memartabatkan adat dan budaya bangsa terutamanya suku kaum Bajau serta menjadi agen promosi kepada masyarakat luar kelak. — JABATAN PENERANGAN SABAH