TUARAN, SABAH – Hari pertama Festival Kebudayaan Rumpun Bajausama Sabah 2024 berjalan lancar.
Pengerusi Pelaksana festival, Datuk Abdul Kassim Razali berkata, sambutan yang diterima pada hari pertama festival berkenaan diadakan amat menggalakkan.
“Setakat ini, kira-kira 2,000 pengunjung hadir membanjiri Pusat Kebudayaan Rumpun Bajausama Sabah ini sejak festival bermula pagi tadi.
“Pada malam (Semalam) ini juga, kita melihat sambutan yang begitu menggalakkan dan ramai pengunjung hadir memberikan sokongan dalam pertandingan akhir Bintang Soromas.
“Saya berharap agar semua akan berjalan dengan baik sehingga pada kemuncak festival iaitu pada 28 Februari nanti,” katanya kepada media selepas Pertandingan Akhir Bintang Soromas di sini, malam Ahad.
Menurut Kassim yang juga Setiausaha Agung Persatuan Rumpun Bajausama Sabah, penganjuran festival ini dapat memberi galakan kepada generasi muda untuk terus memartabatkan bahasa ibunda Bajausama.
“Penggunaan bahasa ibunda Bajausama perlu ditekankan dan ibu bapa perlu mempraktikkan anak-anak untuk bertutur dalam bahasa ibunda di rumah.
“Semoga pada masa akan datang bahasa ibunda Bajausama akan diajar kepada murid-murid di peringkat sekolah,” tambahnya.
Beliau juga berharap agar generasi muda dapat membantu mempromosi bahasa ibunda Bajausama menggunakan teknologi dan platform media sosial seperti Facebook dan TikTok. — JABATAN PENERANGAN SABAH