Isu Harga Ayam: Kerajaan Sabah Akan Adakan Libat Urus, Kurangkan Peranan Orang...

Isu Harga Ayam: Kerajaan Sabah Akan Adakan Libat Urus, Kurangkan Peranan Orang Tengah – Jamawi

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) akan mengadakan sesi libat urus khas bersama pengusaha ayam, pengimport dan pengguna dalam masa terdekat bagi menangani isu harga ayam serta peranan orang tengah dalam rantaian bekalan.

Menterinya, Datuk Jamawi Jaafar berkata, sesi itu dijangka diadakan sebelum sambutan Krismas, selepas tamat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Kita akan adakan sesi libat urus secepat mungkin. Kalau boleh, sebelum Krismas. Kita mahu duduk semeja dengan pengusaha, pengimport dan juga pengguna untuk mencari penyelesaian terbaik,” katanya ketika ditemui semasa mengadakan kunjungan hormat ke Jabatan Perkhidmatan Veterinar Wilayah Kota Kinabalu di sini, Khamis lalu.

Turut mengiringi beliau ialah Setiausaha Tetap MAFFI, Datuk Leonard Stephen Poyong.

Jamawi berkata, antara perkara yang akan dibincangkan ialah usaha mengurangkan peranan orang tengah yang didakwa menjadi punca harga ayam tempatan lebih tinggi berbanding ayam import.

“Kita cuba mengurangkan peranan orang tengah. Apabila harga ayam tempatan lebih mahal, pengguna pilih ayam import. Ini menyebabkan pengusaha tempatan mengadu bahawa perniagaan mereka terjejas.

“Pengguna pula mahu harga murah. Tetapi dalam banyak kes, harga dari pengusaha ke pengguna telah dimainkan oleh orang tengah,” katanya.

Jamawi turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri komited memperkasakan Sabah Agricultural Marketing Authority (SAMA), agensi pemasaran baharu yang diletakkan di bawah kementeriannya untuk mengawal selia rantaian pemasaran hasil pertanian, penternakan dan perikanan.

“Kita berterima kasih kepada Ketua Menteri kerana SAMA telah diaktifkan semula sebagai sebuah agensi pemasaran. Dalam tempoh lima tahun ini, kita akan memperkasakan SAMA untuk mengatasi peranan orang tengah dalam pasaran,” jelasnya.

Beliau berkata, pasaran ayam di Sabah ketika ini mencatat kadar sara diri (SSL) sekitar 95 peratus, namun sebahagian kecil masih bergantung kepada import yang sering dibayangi isu penyeludupan.

“Kalau kita dapat kawal sepenuhnya permintaan dan penawaran, kita boleh kurangkan import. Namun beberapa produk seperti kepak ayam masih perlu diimport kerana permintaan sangat tinggi, seekor ayam cuma ada dua kepak,” katanya berseloroh.

Menurutnya, Kerajaan mahu memastikan harga ayam tempatan kembali kompetitif bagi mengurangkan penyeludupan dan melindungi pengusaha tempatan.

“Jika kita dapat tawarkan harga ayam tempatan yang lebih baik, tidak perlulah ayam import masuk secara tidak terkawal. Ini juga mengurangkan risiko barang tidak halal atau tidak selamat dibawa masuk,” tegasnya.

Jamawi berkata, langkah-langkah yang akan digerakkan termasuk memperkemas data pasaran, menyelaras bekalan dan meningkatkan kapasiti pengeluaran tempatan.

“Yang penting, kita mahu pastikan rakyat dapat harga berpatutan, pengusaha boleh terus berdaya saing, dan peranan orang tengah dapat dikurangkan,” katanya.

Beliau menambah bahawa kementerian akan membuat beberapa pengumuman lanjut selepas sesi libat urus diadakan tidak lama lagi.

Hadir sama ialah Dr. Mary Josephine Golongai yang turut memberikan Penerangan mengenai Jabatan Perkhidmatan Veterinar.