Lin Dan Umum Bersara Dari Arena Badminton Dunia

Lin Dan Umum Bersara Dari Arena Badminton Dunia

0
SHARE

BEIJING, CHINA – Pemain badminton dunia dari China iaitu Lin Dan mengumumkan persaraannya semalam selepas 20 tahun mewarnai dan memberi saingan hebat dalam arena badminton dunia.

Menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di laman sosial Weibo, Lin Dan yang juga juara Olimpik sebanyak dua kali itu berkata; “Dari 2000 hingga 2020, selepas 20 tahun, saya perlu mengucapkan selamat tinggal kepada skuad kebangsaan.

“Ia sesuatu yang sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata,” katanya.

Pengumuman itu menyaksikan Lin Dan, 37, yang memenangi emas Olimpik Beijing 2008 dan London 2012 tidak akan beraksi pada Olimpik Tokyo tahun depan.

Difahamkan, Lin Dan menghantar surat rasmi permohonan untuk bersara kepada Persatuan Badminton China beberapa hari lalu dan badan induk itu menerimanya.

Selain emas Olimpik, Lin Dan juga memenangi gelaran juara dunia sebanyak lima kali bermula 2006, 2007, 2009, 2011 dan 2013.

Keputusan itu hadir setahun selepas musuh tradisinya yang juga bekas jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mengumumkan persaraannya, Jun tahun lalu.