Kerajaan Pastikan Kenaikan Harga Barang Pasaran Global Tidak Membebankan Rakyat – PM

Kerajaan Pastikan Kenaikan Harga Barang Pasaran Global Tidak Membebankan Rakyat – PM

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan...

ISTANBUL, TURKI – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan akan memastikan kenaikan harga barangan keperluan asas di pasaran dunia tidak membebankan rakyat Malaysia.

“Saya tidak nafikan berlaku kenaikan harga barangan, ini fenomena global…

“Bukan hanya di Malaysia, bukan hanya di Turkiye tetapi di seluruh dunia… mula-mula kerana pandemik Covid-19 dan kemudian Perang Ukraine-Rusia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis makan tengah hari bersama rakyat Malaysia yang menetap atau belajar di Turki pada Selasa.

Menurut beliau, yang membezakan Malaysia dengan kebanyakan negara lain ialah kadar subsidi diberikan kerajaan kini mencecah lebih RM77.7 bilion.

“Sebagai contoh, kadar inflasi di Turki sudah mencecah 78 peratus iaitu yang tertinggi dalam tempoh 24 tahun.

“Malaysia bertuah kerana kerajaan dapat mengekalkan subsidi dan memastikan harga barang tidak naik dan membebankan rakyat…

“Ramai yang menggambarkan kehidupan di Turki semakin hari semakin mencabar terutama golongan pelajar.

“Harga makanan naik setiap minggu atau dua minggu sekali,” katanya.

Beliau berkata di Malaysia pula, kerajaan terus mengekalkan subsidi untuk barangan seperti ayam, minyak masak, petrol dan diesel.

Ismail Sabri berkata, kerajaan juga mengekalkan tarif elektrik dan air demi menjaga kepentingan Keluarga Malaysia dengan menampung subsidi sebanyak RM5.8 bilion meskipun berlaku peningkatan mendadak kos bahan api dan penjanaan lain.