RANAU, SABAH – Pegawai Daerah Ranau, Jumain Abdul Ghani mengingatkan pemilik haiwan ternakan seperti lembu dan kerbau di daerah Ranau agar menjaga dengan baik serta tidak membiarkan haiwan ternakan berkeliaran sehingga mengganggu pengguna jalan raya.
Tegas beliau, haiwan ternakan itu perlu di tempatkan dan dijaga di kawasan yang sepatutnya…
Katanya, sering berlaku kemalangan disebabkan haiwan ternakan yang berkeliaran di jalan raya sehingga mengakibatkan kerosakan teruk pada kenderaan dan kehilangan nyawa.
“Selain itu, haiwan ternakan yang berkeliaran itu juga kerap memasuki dan merosakkan kawasan pertanian penduduk.
“Kita sudah mengeluarkan surat pekeliling supaya semua pemilik berkenaan menjaga haiwan ternakan mereka di tempat yang sepatutnya,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.
Menurutnya, Surat pekeliling yang dikeluarkan itu selaras dengan ‘Cattle Grazing and Pounds Ordinan’ (Sabah Cap: 21) dan Seksyen 48, Ordinan Mahkamah Anak Negeri 1992.
“Kita mohon kepada Ketua Daerah, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM), Pemaju Mukim, Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN), Ketua Kampung (Pemegang Adat) dan Pengerusi JPKK agar memanjangkan arahan ini kepada penduduk di bawah seliaan masing-masing,” katanya.