RM2.6 Juta Dana SRC Guna Untuk Bayar Media – Rafizi

RM2.6 Juta Dana SRC Guna Untuk Bayar Media – Rafizi

0
SHARE

Meneruskan misinya untuk mendedahkan jejak wang yang dikatakan dana SRC International, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli mendakwa bahawa lebih RM2.6 juta telah digunakan untuk membayar pengamal media dan membiayai kempen media sosial.

Salah satu syarikat yang dinamakan, didakwa menerima RM1 juta pada 22 Julai 2014 daripada dana SRC, yang beliau telah dakwa pergi ke akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Syarikat itu dikatakan telah bertanggungjawab untuk menjalankan kempen media sosial untuk pelanggannya.

Dalam membuat dakwaannya, Rafizi mengaitkan syarikat itu dengan seorang ahli UMNO Titiwangsa dengan nama Noryusmiza Nasir, yang profil di laman web rangkaian profesional LinkedIn, menyatakan bahawa dia pernah bekerja sebagai seorang penyelidik kanan bagi syarikat itu.

Rafizi menerbitkan satu gambar Noryusmiza di laman web beliau, dan juga melampirkannya kepada kenyataan akhbarnya.

“Saya percaya individu-individu yang dinamakan ini tidak akan menafikan pendedahan-pendedahan ini atau mengemukakan bukti bahawa pendedahan ini tidak benar,” kata Rafizi dalam kenyataan itu.

Ketika dihubungi, Noryusmiza terkejut dengan dakwaan Rafizi, dan menafikan sebarang pengetahuan mengenai syarikat itu mendapat dana dari Najib atau SRC International.

“Saya tidak tahu apa-apa (mengenai dana syarikat itu)… Saya hanya bekerja sebagai seorang perunding untuk mereka, menasihatkan mereka mengenai sistem pengurusan media sosial.

“Saya ada banyak hutang, jika saya ada RM1 juta, banyak masalah saya dapat diselesaikan… Saya tidak tahu bagaimana saya boleh dikaitkan” Noryusmiza kepada Malaysiakini.

Noryusmiza yang berusia 45 tahun itu berkata beliau hanya bekerja dengan syarikat itu berdasarkan kontrak, dan setahunya, syarikat itu telah ditutup.

Mengenai penglibatan beliau dalam UMNO Titiwangsa, katanya, beliau hanya merupakan ahli biasa.

Ditanya sama ada beliau akan menyaman Rafizi, beliau menjawab: “Saya hanya orang biasa, bukan seseorang yang penting, dan bukan seorang ahli politik. Rafizi boleh mengatakan apa yang dia mahu, saya tidak mempunyai kapasiti (untuk menyaman beliau)..”

‘Tidak satu sen pun’

Sementara itu, ditanya mengenai kemungkinan bahagiannya menerima dana SRC International, Ketua Umno bahagian Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, tidak sama sekali.

Tidak satu sen pun. Saya tidak memerlukan semua dana ini untuk menjaga bahagian saya,” kada Johari, yang juga Menteri Kewangan Kedua, kepada Malaysiakini.

Selain syarikat yang mana Noryusmiza dikaitkan, Rafizi juga menamakan dua lagi penerima yang dikatakan dana SRC International.

Satu syarikat, yang dikatakan dimiliki oleh seorang penasihat kanan kepada Najib, didakwa menerima RM2 juta pada 27 Ogos 2014.

Syarikat itu dikatakan pemaju aplikasi mudah alih Najib Razak yang dilancarkan pada 2016.

Sementara itu penerima ketiga, dikatakan seorang bekas wartawan dari Singapura yang didakwa menerima RM655,000 daripada akaun peribadi Najib.

Najib dipercayai telah meterima sehingga RM74 juta daripada SRC International.

Sebahagian daripada wang itu, yang berjumlah RM32 juta, telah diperincikan di dalam satu dokumen yang dipegang oleh Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali apabila dia membersihkan Najib daripada sebarang salah laku pada Januari tahun lepas.

Mohamed Apandi berkata Najib tidak tahu dana daripada SRC International telah masuk ke akaun bank peribadinya dan
menyangka ia sebahagian daripada deposit berbilion ringgit yang didakwanya sumbangan dari seorang anggota keluarga diraja
Arab Saudi.

Najib juga menafikan salah laku atau mengambil wang rakyat untuk kepentingan peribadi.

– M.Kini