KUALA LUMPUR – Tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada Isnin telah membuat laporan polis terhadap kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mendakwa Yang di-Pertuan Agong mencampur tangan dalam pembentukan kerajaan.
Tiga NGO itu ialah Pertubuhan Prihatin Alam Sekitar dan Masyarakat (PRIALAM), Muhibbah Akrab Malaysia (MAM) dan Pertubuhan Perpaduan Kemanusiaan Malaysia (PPKM).
Muhammad Firdaus Abu Mangsor mewakili PRIALAM dan MAM berkata laporan polis itu dibuat susulan kenyataan Ahmad Zahid di Facebooknya yang bertajuk ‘Barisan Nasional (BN) mendukung Perlembagaan Negara dan Menjunjung Titah Yang di-Pertuan Agong’ yang dimuat naik pada Ahad.
“Dalam entri itu, ada kenyataan Ahmad Zahid yang boleh membawa maksud Yang di-Pertuan Agong seolah-olah campur tangan dalam memastikan Perikatan Nasional (PN) tidak disokong atau dikecualikan daripada menerajui kerajaan…
“Kenyataan beliau juga seperti menggambarkan bahawa pembentukan kerajaan adalah bukan atas dasar majoriti kepercayaan ahli Dewan Rakyat, tetapi atas dasar titah daripada Yang di-Pertuan Agong,” katanya selepas laporan polis itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
Katanya tindakan Ahmad Zahid dilihat sebagai mencabul peruntukan Perkara 43(2) Perlembagaan Persekutuan.
“Kenyataan Ahmad Zahid itu umpama menghina dan mempalitkan Yang di-Pertuan Agong dalam proses politik dan ini boleh membawa keresahan rakyat serta institusi raja berperlembagaan di Malaysia…
“Berdasarkan apa yang dinyatakan Ahmad Zahid itu, maka perkara ini perlu disiasat termasuk kemungkinan pemimpin BN terbabit dalam konspirasi mencabul peruntukan Perlembagaan Malaysia,” katanya.
Ahmad Zahid dalam kenyataan tersebut berkata BN mula-mula membuat keputusan untuk menjadi pembangkang kemudian berkecuali dan akhirnya menyerahkan 30 kerusi untuk pertimbangan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk menentukannya.
“Begitu juga GPS (Gabungan Parti Sarawak) dan GRS (Gabungan Rakyat Sabah). Hal ini berlaku selepas Yang di-Pertuan Agong menitahkan semua 30 Ahli Parlimen BN supaya menyokong dan mengambil bahagian dalam kerajaan yang bukan diterajui oleh PN bagi memastikan sebuah kerajaan yang stabil dan makmur dapat dibentuk…
“Maka BN menjunjung titah tersebut dan meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan individu dan parti,” katanya.