Perluaskan Skim ‘Rent-to-Own’ Kepada Pembeli Perumahan Residensi Wilayah Keluarga Malaysia

Perluaskan Skim ‘Rent-to-Own’ Kepada Pembeli Perumahan Residensi Wilayah Keluarga Malaysia

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta memperluas skim pembiayaan sewa untuk beli atau rent-to-own yang kini hanya melibatkan Projek Perumahan 1Malaysia (PR1MA) kepada bakal pembeli perumahan Residensi Wilayah Keluarga Malaysia.

Pengerusi Pertubuhan Penyewa Kediaman Kebangsaan (NHRA) K. Prakash berkata peluasan skim itu dapat membantu bakal pembeli yang kurang berkemampuan menyewa terlebih dahulu rumah idaman mereka sehingga berkeupayaan untuk mendapatkan pembiayaan bagi membeli rumah didiami.

“NHRA berharap agar pihak kerajaan dapat mengadakan satu sekatan atau moratorium jualan semula dan sewaan bagi tempoh sekurang-kurangnya 10 tahun agar pembeli tidak menjual atau menyewakan rumah ini kepada mana-mana pihak…

“Ia adalah selaras dengan hasrat kerajaan yang ingin membantu golongan B40 dan M40 untuk memiliki rumah Residensi Wilayah Keluarga Malaysia dengan pemberian subsidi pengurangan harga penjualan rumah,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut Prakash, kelulusan memiliki rumah Residensi Wilayah Keluarga Malaysia hanya perlu diberikan kepada pembeli rumah pertama dan orang kurang kemampuan untuk membeli rumah mengikut harga pasaran.

Selain itu, katanya pihak berkuasa tempatan juga perlu membuat penguatkuasan berkala bagi mengelakkan rumah-rumah di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) disewakan kepada orang lain terutamanya kepada warga asing.

“Hasil pemerhatian NHRA mendapati bahawa kebanyakan pemilik rumah PPR yang mendapat bantuan subsidi kerajaan untuk memiliki rumah tersebut telah mengambil kesempatan untuk menyewakan kepada warga asing…

“Sebenarnya kerajaan mewujudkan konsep rumah PPR untuk membantu golongan miskin memiliki rumah dan bukannya untuk dikomersialkan atau disewakan kepada orang lain,” katanya.

Beliau berharap agar isu tersebut dapat ditangani dengan penguatkuasaan syarat, peraturan dan undang-undang yang jelas bagi menghalang penyewaan serta penjualan rumah PPR dengan adanya Akta Sewaan Kediaman sedang digubal oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

– BERNAMA