RANAU: Penganjuran 5th KGR International 4×4 Offroad Challenge 2026 berupaya memacu pembangunan pelancongan pengembaraan dan sukan lasak di daerah ini selain merancakkan ekonomi setempat.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kejohanan itu merupakan platform berkesan salam usaha mempromosi Ranau sebagai destinasi pelancongan berasaskan pengembaraan.
Selain itu, kejohanan ini sekali gus memperkenalkan keunikan alam semula jadi dan kepelbagaian budaya di daerah ini kepada semua pelawat termasuk dalam dan luar negara.
Masidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan berkata, penganjuran program seumpama itu turut memberi manfaat kepada pelbagai sektor ekonomi tempatan termasuk pengusaha hotel, homestay, restoran, gerai makanan, perkhidmatan pengangkutan serta usahawan kecil di sekitar Ranau.
“Kerajaan Negeri Sabah terus komited menyokong penganjuran program berasaskan komuniti yang bukan sahaja menggalakkan penyertaan dalam aktiviti sukan lasak, malah mampu merancakkan sektor pelancongan dan menjana pertumbuhan ekonomi di peringkat akar umbi,” katanya ketika merasmikan 5th KGR International 4×4 Offroad Challenge 2026 di Tomporog, Lohan, baru-baru ini.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Setiausaha Politiknya, Johari Suhaimin.
Masidi berkata, kerjasama erat antara kerajaan, penganjur, sektor swasta dan komuniti perlu terus diperkukuhkan bagi membolehkan lebih banyak program berimpak tinggi dianjurkan pada masa hadapan.
“Saya berharap kejohanan seperti ini akan terus berkembang sebagai acara tahunan bertaraf nasional dan antarabangsa, sekali gus mengangkat Ranau sebagai destinasi sukan lasak dan pelancongan pengembaraan terkemuka di Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Presiden KGR, Ardie Zainurin berkata, kejohanan berkenaan berjaya menghimpunkan seramai 32 peserta, termasuk penyertaan dari Miri, Sarawak dan Brunei Darussalam, sekali gus membuktikan daya tarikan serta potensi kejohanan itu di peringkat serantau.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua penaja, rakan strategik, urus setia dan sukarelawan yang menjayakan penganjuran kejohanan berkenaan serta berharap kerjasama itu dapat diteruskan bagi memastikan pertandingan berkenaan kembali dianjurkan dengan lebih meriah pada masa akan datang.
Dalam pertandingan itu, pasangan Jonathan Roy dan Anto dari Kota Kinabalu muncul juara, diikuti Mohd Izzat dan Mohd Iman dari Beaufort sebagai naib juara.
Tempat ketiga dimenangi pasangan tuan rumah Hijab Masinin dan Hazizi Masinin, manakala Mohd Adlizan Paimin bersama Mohd Khairu Rizal, juga dari Ranau, menduduki tempat keempat.
Pasangan Jamal Jaeland dan Ramli Paita dari Tawau melengkapkan kedudukan lima terbaik kejohanan itu.






